Suami isteri ditahan dera anak angkat sampai mati

IPOH – Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera, pada Isnin.

Ibu angkat kepada mangsa yang berusia 27 tahun sementara suami wanita itu berusia 66 tahun ditahan pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan di hospital itu, pada jam 9.45 pagi Isnin.

Katanya, mangsa yang berusia lima tahun yang dibawa dari Taman Malkop Silibin telah diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) di wad kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia

“Hasil pemeriksaan ke atas badan mangsa terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan dan disyaki telah dipukul dengan menggunakan objek tumpul.

“Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘multiple blunt injuries’.

“Selain itu, terdapat juga luka koyak dan lebam pada salur peranakan luar dan dubur mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, permohonan reman ke atas pasangan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.

Justeru, Abang Zainal Abidin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, ASP Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 bagi membantu siasatan.

“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan dan tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya lagi. – MG PERAK

Artikel Berkaitan:

 

Dua maut, seorang parah nahas babit lima sekeluarga

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI