MAHB bukan dijual pada syarikat asing – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keadaan sebenar mengenai penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) berbeza dengan naratif yang sedang dimainkan.

Menurut beliau, transaksi itu tidak menyebabkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijual kepada syarikat asing.

Ia kerana, GIP Bersama Abu Dhabi Investment Authority memiliki 30% saham MAHB.

Sementara itu, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%.

“Tiada perubahan struktur yang berlaku kerana lapangan terbang masih kekal milik Kerajaan Malaysia sekalipun tiada yang perlu berbangkit mengenai isu penjualannya.

“GIP hanya berperanan sebagai pihak yang menguruskan lapangan terbang, itu saya nak jelaskan faktanya. Apakah kita ada penjualan melibatkan lapangan terbang? Tidak. Hanya melibatkan pengurusan iaitu MAHB, (tetapi) lapangan terbang kekal milik Kerajaan Malaysia

“(Keadaan) ini sama MAHB diberi izin kerajaan Turki mengurus lapangan terbang di Istanbul tapi milik kekal Kerajaan Turki jadi berbeza dengan kita menjual hak Malaysia kapada zionis, Israel.

“Saya terima baik kritikan tapi biarlah berdasarkan fakta,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Mohd Sahar meminta perdana menteri memberi penjelasan terhadap keputusan Khazanah berhubung penjualan saham MAHB kepada GIP.

Mengulas lanjut Anwar berkata, Khazanah dan KWSP telah menjalankan rundingan dengan GIP sejak tahun 2012, iaitu sebelum pengumuman BlackRock mengambil kepentingan dalam GIP.

Bagaimanapun katanya, setelah itu GIP memberi jaminan bahawa perkembangan semasa itu tidak menjejaskan peranan mereka menguruskan lapangan terbang kelak.

Anwar berkata, isu ini tidak patut dipolitikkan kerana kerajaan sebelum ini pada 2021 yang menyerahkan akaun terurus KWSP berasingan bersama ekuiti persendirian kepada BlackRock.

“Tahniahlah, jumlahnya masa itu AS$600 juta (RM5.5 billion).

“Tapi masa itu saya pertahankan dan saya nyatakan tidak mahu jadikan ini isu politik. Ini hanya syarikat pelaburan. Apakah masa itu BlackRock tidak melibatkan sentimen pro-Israel? Sudah. Tetapi dalam kes MAHB tidak seperti 2021. Rundingan telah dilakukan sejak thun lalu dengan GIP tidak terlibat dengan BlackRock,” katanya lagi.

Mengulas mengenai sebab memilih GIP, beliau berkata Khazanah melaporkan terbuka untuk mempertimbangkan rundingan bersama 145 syarikat namun hanya lima yang layak dengan syarat ketat ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan ialah penguasaan saham ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAHB masih dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Semua tidak menerima syarat yang kita kenakan ini terutama dari segi penguasaan saham kita. Itu sebabnya GIP yang diambil,” tambahnya sekali lagi menegaskan isu keselamatan tidak berbangkit kerana lantikan dua jawatan tersebut perlu diisi oleh warga tempatan.

Selain itu, lapangan terbang masih kekal milik kerajaan, ujarnya menjawab isu soal keselamatan lapangan-lapangan terbang yang diuruskan oleh MAHB.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI