PENGUMUMAN tiga agenda baharu di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak.
Tiga agenda tersebut adalah Pembangunan Sosial, Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kelestarian Alam dan Biodiversiti menjadikan keseluruhan sebanyak sembilan agenda di dalam pelan berkenaan.
Sebelum ini, enam agenda asal pelan berkenaan merangkumi Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Koridor Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Perlombongan Bertanggungjawab, Pembuatan Keputusan Dipacu Data dan Tabir Urus Projek Berkepentingan Negeri.
Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan oleh Saarani pada 15 Jun 2022 adalah sebagai garis panduan bagi pembentukan dasar, inisiatif dan agenda utama negeri bagi tahun 2022 hingga 2030.
Saarani memaklumkan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan pelan tersebut, pelbagai inisiatif dan program Sejahtera Sosial yang dilaksanakan sudah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, penambahan tiga agenda baharu itu susulan maklum balas dan pemantauan yang dibuat kerajaan negeri terhadap pelan sedia ada.
Menurut pandangannya, agenda terbaharu ini dilihat menyokong antara satu sama lain khususnya dalam memastikan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar dapat dikecapi secara lestari.
“Menerusi agenda Pembangunan Sosial, ia sebenarnya perlu dirancang bersama dengan pembangunan ekonomi.
“Ini kerana pembangunan ekonomi melibatkan pembangunan kebendaan sahaja, yang sememangnya diperlukan.
“Bagaimanapun, pembangunan insan, kemasyarakatan, keharmonian serta kesejahteraan dan keselamatan sosial juga perlu dirancang seiring untuk semua pihak menikmatinya.
“Semua ini perlu bergantung antara satu sama lain, barulah sesebuah masyarakat itu dapat membangun dengan seimbang.
“Namun, sejak kebelakangan ini, banyak negara-negara maju telah mengabaikan isu pembangunan sosial dan mereka sudah terlambat untuk memperbaikinya. Justeru, kita diharap tidak membuat kesilapan yang sama,” katanya ketika dihubungi MG Perak.
Menyentuh mengenai Kelestarian Alam dan Biodiversiti, Ahamed Kameel berpendapat, perkara itu perlu diketengahkan kerana seluruh dunia sedang memberi perhatian kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) disebabkan banyak perkara sosio-ekonomi menjadi tidak mampan atau lestari.
“Apabila perkara tersebut tidak diambil peduli, ini antara punca berlakunya perubahan iklim, pencemaran udara, tanah, air dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau bersetuju penambahan agenda Pemerkasaan PBT adalah satu agenda yang baik dalam merancang dan menguruskan perkara berkaitan PBT.
“Agenda ini mestilah termasuk pemantauan dan akauntabiliti atau kebertanggungjawaban sesebuah PBT supaya dapat membantu kawasan bandar, luar bandar serta perkampungan menjadi lebih bersih, tersusun dan lestari,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: