Pasar Sementara Pasir Pinji jangka siap 19 Februari tahun depan

IPOH – Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji yang melibatkan peruntukan RM1.54 juta dijangka siap pada 19 Februari tahun depan, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurutnya, projek itu melibatkan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM1 juta dan lebihan peruntukan berjumlah RM540,000 oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya projek Pasar Sementara Pasir Pinji itu mengambil masa enam bulan kesiapan kerja-kerja pembinaan dan pemindahan kesemua peniaga ke pasar sementara dijangka akan bermula pada bulan Mac tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

“Bagi pelaksanaan pembinaan Pasar Baru Pasir Pinji pula, proses pelantikan perunding sedang dijalankan dan dijangka selesai pada awal November ini.

“Perunding yang berjaya akan menyiapkan reka bentuk pasar baru dalam tempoh tiga bulan selepas lantikan dan seterusnya, proses tender bagi pelantikan kontraktor Pembinaan Semula Pasar Baru Pasir Pinji akan bermula pada awal Februari tahun depan.

“Pelaksanaan projek pembinaan pasar baru ini dijadualkan bermula pada April 2024 dengan tempoh pelaksanaan 24 bulan dan dijangka siap pada Mac 2026,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini, pada Ahad.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat Pasar Pasir Pinji selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

Kor Ming berkata Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih daripada 50 tahun itu merupakan pasar lama yang uzur dan daif serta menempatkan seramai 178 peniaga.

“Sebanyak 187 lot perniagaan akan disediakan di pasar baru tersebut dengan mengutamakan pelesen sedia ada dan turut memberi peluang kepada permohonan baru bagi memenuhi ruang perniagaan.

“Selain itu, ruang parkir kenderaan yang mencukupi juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pasar,” katanya lagi. -MG Perak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI