Tujuh vesel nelayan asing bernilai RM10.5 juta dilucut hak

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Seksyen Negeri Terengganu mengarahkan tujuh Vesel Nelayan Asing Vietnam dengan nilai keseluruhan RM10.5 juta dilucut hak, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, tujuh buah vesel tersebut telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu dalam siri Operasi Naga Barat di sekitar perairan negeri itu.

Tambah beliau, enam buah vesel ditahan pada bulan Mei lalu manakala sebuah lagi ditahan pada bulan Jun lalu.

“Dalam kes tangkapan tersebut, seramai 55 orang kru beserta tekong warganegara Vietnam berumur 20 hingga 60 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan memasuki Zon Maritim Malaysia tanpa kebenaran,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Khairulanuar, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM300,000 kepada setiap tekong dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman lima bulan penjara.
Jelasnya, setiap kru juga dikenakan denda RM120,000 dan jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman tiga bulan penjara.

Tambah beliau, daripada jumlah kru yang ditahan, seorang kru berumur 60 tahun telah dibuat pengusiran melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 30 Jun lalu atas perintah Mahkamah.

“Sejak Op Naga Barat dilancarkan pada 2 Mei 2019 dalam usaha membanteras pencerobohan vesel nelayan asing terutamanya di perairan Pantai Timur Semenanjung, Maritim Negeri Terengganu telah merekodkan tangkapan sebanyak 38 kes pada tahun 2019, 29 kes pada tahun 2020, 34 kes pada tahun 2021, 17 kes pada tahun 2022, 20 kes pada tahun 2023 dan 13 kes setakat Julai 2024,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Khairulanuar memberitahu, Maritim Negeri Terengganu juga telah melupuskan sembilan buah vesel nelayan asing Vietnam pada tahun ini dengan kaedah musnah pecah dan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun dengan nilai bersih pelupusan sebanyak RM1.65 juta. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI