Bot penumpang untuk ‘runner minyak’ seludup bahan api ditahan

KUALA LUMPUR – Sebuah bot penumpang tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau kerana disyaki menjadi ‘runner minyak’ yang membawa bahan api tanpa permit.

Bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan apabila bergerak laju dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 6.20 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semakan mendapati bot penumpang itu dikendalikan lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun.

“Pemeriksaan anggota menemui lima gelen bahan api jenis petrol dan diesel anggaran 150 liter serta dua tong gas LPG dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

“Susulan itu, kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan dirampas serta disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua barangan yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Modus operandi digunakan ‘runner minyak’ adalah membawa bahan api itu dalam kuantiti yang kecil secara berulang bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang-barang kawalan terbabit ke negara jiran.

“Penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI