Dicuri, dirosakkan mat rempit alasan simpan alat pemadam api

IPOH – “Banyak alat pemadam api rosak sebab ada mat rempit main ‘spray-spray’. Sebab itu 10.30 malam kami dah simpan.”

Itu antara alasan pekerja stesen minyak ketika Ops Terjah Alat Pemadam Api (APA) yang dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melibatkan 35 balai bomba di sekitar negeri ini, lewat malam tadi.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, menerusi operasi tersebut sebanyak 135 premis stesen minyak diperiksa.

Menurutnya, sebanyak 124 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 52, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM12,700.

Dicuri, dirosakkan mat rempit alasan simpan alat pemadam api
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon bersama pegawainya melaksanakan Task Force Pemeriksaan Alat Pemadam Api (APA) di seluruh kawasan jagaan balai balai bomba melibatkan premis stesen minyak di sekitar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 JULAI 2024.

Beliau berkata, pemeriksaan serentak di seluruh negeri Perak bertujuan  memastikan pematuhan kepada peraturan-peraturan keselamatan di stesen minyak dipatuhi pengusaha premis tersebut.

“Pemeriksaan dibuat dari aspek keselamatan kebakaran dengan adanya alat pemadam api di stesen-stesen minyak berkenaan.

“Kita mendapati kebanyakan stesen minyak menyimpan alat pemadam api selepas jam 10 malam dengan alasan untuk tujuan keselamatan dari dikacau ganggu atau vandalisme dan bagi mengelakkan kecurian.

“Bagaimanapun, ini tidak bertepatan dengan peraturan kebombaan yang ditetapkan kerana alat pemadam api mestilah diletakkan di tempatnya bagi memastikan keselamatan stesen minyak terjamin,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Dicuri, dirosakkan mat rempit alasan simpan alat pemadam api
Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan kompaun kepada sebuah stesen minyak ketika melaksanakan Task Force Pemeriksaan Alat Pemadam Api (APA) di seluruh kawasan jagaan balai balai bomba melibatkan premis stesen minyak di sekitar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 JULAI 2024.

Beliau yang turut mengikuti operasi tersebut di sekitar Ipoh memaklumkan, tiga stesen minyak yang diperiksa tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, operasi tersebut juga adalah untuk memberikan satu peringatan bersama kepada pengusaha stesen minyak supaya memberi perhatian kepada aspek keselamatan di premis terbabit.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan tetapi dari segi aspek keselamatan kebakaran kita terlepas pandang atau terabai kerana ini adalah sangat penting dan medium utama untuk mencegah kebakaran di peringkat awal.

“Sekiranya peralatan yang digunakan untuk memadam kebakaran tidak berada di tempatnya, itu menyebabkan risiko kebakaran meningkat dan kemungkinan berlaku kebakaran yang lebih serius.

Dicuri, dirosakkan mat rempit alasan simpan alat pemadam api
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon mengeluarkan kompaun kepada penyelia sebuah stesen minyak ketika melaksanakan Task Force Pemeriksaan Alat Pemadam Api (APA) di seluruh kawasan jagaan balai balai bomba melibatkan premis stesen minyak di sekitar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 JULAI 2024.

“Selain memberi kesedaran kepada pengusaha stesen minyak, ia turut memberi kesedaran kepada masyarakat awam.

“Justeru, mereka (pengusaha stesen minyak dan orang awam) boleh bersama-sama prihatin dalam memastikan aspek keselamatan persekitaran mereka terjamin,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sayani berkata, kes terbaharu melibatkan kebakaran stesen minyak di negeri ini berlaku di Batu Gajah pada bulan lalu.

“Berikutan itu, memang kita perlu adakan pemeriksaan begini supaya sama-sama alert dan ia juga adalah satu alarm kepada masyarakat untuk kita lebih prihatin dari segi aspek keselamatan kebakaran.

“Kadang-kadang kita dah bercakap banyak, beri peringatan dari segi ceramah, teguran awam tapi mereka kurang cakna.

“Tapi, apabila kita melakukan secara penguatkuasaan barulah mereka akan terasa lebih peka tentang keperluan keselamatan kebakaran terutama di stesen minyak,” ujarnya.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bomba berjaya kawal kebakaran bukit 10 hektar

Seleweng diesel: KPDN serbu stor, stesen minyak disyaki subahat

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI