IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang giat melaksanakan sesi libat urus terhadap pemegang taruh berhubung pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pada masa ini Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan KPKT sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) serta persatuan pembeli rumah.
“Jadi, sebelum membuat sebarang keputusan segala kajian, menyelidik dan penyelidikan akan sentiasa dijalankan serta pelbagai sesi libat urus sedang giat dilaksanakan.
“Justeru, saya sasarkan pindaan ini dapat dibawa dan bakal dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pengarah JPN, Datuk KN Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan yang turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.
Sebelum ini, Kor Ming pindaan akta itu dilaksanakan supaya tinndakan lebih tegas diambil terhadap pemaju yang terlibat dengan penipuan.
Menurutnya, sebelum ini akta sedia ada hanya melindungi harta rumah kediaman, kedai komersial, pejabat, pusat beli-belah dan unit komersial yang tidak tertakluk kepada kawalan.
Melalui pindaan itu kelak, sebarang kes penipuan atau projek terbengkalai boleh didakwa ke mahkamah dan dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM250,000 hingga RM500,000 atau kedua-duanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: