Projek terbengkalai D’Aman Residensi Meru Raya dijangka siap Disember

IPOH – Projek D’Aman Residensi Meru Raya yang diisytiharkan terbengkalai sebelum ini dijangka akan disambung semula akhir Julai dengan sasaran untuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Disember 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, terdapat lima projek terbengkalai di Perak melibatkan Taman Tapah Permai, Tapah; Taman Cempaka II, Manjung; Taman Seri Emas, Kampar; Taman Limau Mas, Beruas termasuk D’Aman Residensi Meru Raya.

Menurutnya, kesemua projek terbengkalai itu kini di bawah pemantauan aktif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

“Projek ini dilaksanakan oleh pihak swasta dan kita perlu mengambil kira rungutan rakyat yang sebahagiannya telah pun membuat pembayaran melalui potongan gaji dan masih menyewa rumah.

“Akibat rumah lambat siap, dia (pembeli) menderita akibat itu. Justeru, kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Projek terbengkalai D'Aman Residensi Meru Raya disambung semula akhir Julai
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 JULAI 2024.

“Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) di antara LPHP dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang dianggap bersejarah dimeterai kerana menyaksikan kerjasama langsung kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani isu projek perumahan terbengkalai.

“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menyelesaikan secara tuntas isu perumahan terbengkalai yang selama ini sering menimbulkan rungutan dan kegelisahan rakyat.

“Melalui kerjasama strategik ini akan memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah di Perak, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif serta pemulihan projek-projek terbengkalai secara sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU antara Ketua Pengarah JPN, Datuk KN Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.

Turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU tersebut adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Projek terbengkalai D'Aman Residensi Meru Raya disambung semula akhir Julai
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada sidang media majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 JULAI 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan data terkini dari JPN menunjukkan terdapat 58 projek perumahan melibatkan 4,007 unit rumah yang dikategorikan sebagai projek sakit di Perak sehingga 31 Mei 2024.

“Kerajaan Negeri yakin kerjasama erat kedua-dua pihak akan membawa perubahan positif dalam landskap perumahan negeri Perak  dan berpontensi menjadi model kerjasama yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain.

“Saya yakin kerjasama ini akan membawa impak positif yang besar dalam menyelesaikan isu perumahan di negeri Perak. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

LPHP, JPN selamatkan projek rumah terbengkalai di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI