Lebih 42,000 mengunjungi PACU Taiping – Exco

IPOH – Seramai 42,849 pengunjung direkodkan mengunjungi Perpustakaan Awam Cawangan Utama (PACU) Taiping bermula Januari 2023 sehingga Jun tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 23,109 pengunjung direkodkan sepanjang tempoh Januari sehingga Disember 2023.

“Pada Januari hingga Jun 2024 pengunjung perpustakaan ini mula menunjukkan peningkatan bagi tempoh enam bulan pertama iaitu sebanyak 19,740 orang pengunjung.

“Peningkatan jumlah pengunjung dalam tempoh tersebut adalah didorong oleh pelbagai aktiviti dan program kecil dan besar yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan lisan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairudin (BN-Belanja) berkata, pelbagai usaha telah dirancang dan bakal dilaksanakan dalam memastikan fungsi perpustakaan kekal relevan kepada masyarat.

Ujar beliau, PACU Taiping merupakan perpustakaan berkonsepkan ‘Bibliotourism’ di mana ia merupakan pusat sehenti dalam menyalurkan maklumat tempatan yang diperlukan oleh masyarakat mahu pun pelancong.

“Antara inisiatif yang telah diambil ialah melalui bahan pameran bertemakan ‘Bandar Warisan Taiping’, di mana konsep pameran adalah mengenai sejarah bandar Taiping, makanan tradisi beserta lokasi, bangunan bersejarah, seni lukisan dan sebagainya.

“Manakala, dari Januari hingga Jun 2024, sebanyak 61 program dan aktiviti telah dilaksanakan termasuklah empat program berskala besar,” katanya.

Tambah beliau, Perpustakaan Awam Taiping merupakan perpustakaan yang telah diangkat sebagai Bangunan Warisan di bawah peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Bangunan-bangunan yang diisytiharkan sebagai Warisan dan Warisan Kebangsaan adalah satu pengiktirafan kerajaan dalam pengekalan warisan budaya negara.

“Namun begitu, kekangan bagi pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak adalah dari aspek penyelenggaraan dan pembaikan bangunan kerana ianya perlu melalui kelulusan dari pihak Jabatan Warian Negara dan kebiasaannya maklum balas yang diterima memakan masa yang agak lama,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Perak rancang bangunkan perpustakaan digital

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI