LARUT – Sebanyak 500 hingga 1,000 metrik tan bekalan durian segar di negara ini akan dieksport ke China, tahun ini.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, angka itu disasarkan susulan musim raja buah itu yang telah berada di penghujung fasa.
Katanya, walaupun pelbagai jenis durian tempatan akan dieksport namun jenis Musang King antara yang memperoleh permintaan tinggi di sana.
“Kebanyakkan durian jenis Musang King yang menerima permintaan tinggi kerana ia dikategorikan sebagai durian premium di sana.
“Kita menjangkakan suku tahun ketiga (durian-durian segar ini dapat dieksport) kerana kita sedang menunggu pengauditan premis dan ladang daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi tujuan eksport tersebut.
“Kita lihat dan jangka tempoh masa yang paling cepat dapat dilaksanakan pada Oktober. Ini kerana kita baru sahaja memperoleh kelulusan (mengeksport),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama pengusaha durian bagi pasaran ke China di Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Batu Kurau, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dan Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri.
Justeru itu, Nor Sam menggesa semua pekebun kecil durian di seluruh negara untuk bekerjasama dengan FAMA bagi tujuan mengeksport hasil tanaman mereka ke China.
Menurut beliau, agensi di bawah KPKM itu bertanggungjawab dalam mempromosikan produk pertanian tempatan, dan membantu petani serta pengeksport tempatan dalam menembusi pasaran antarabangsa.
Ujar Nor Sam, setakat ini kebanyakan kebun durian di seluruh negara khususnya di Pahang mempunyai potensi tinggi menjadi ladang pembekal durian khususnya jenis premium mampu memenuhi permintaan pengeksport.
“Kita menggalakkan supaya semua pengusaha kebun dan ladang durian yang berminat untuk mengeksport hasil tanaman mereka keluar negara tanpa mengira keluasan kawasan.
“Walau bagaimanapun mereka harus berdaftar dengan Jabatan Pertanian untuk memperoleh pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGap) supaya ladang berkenaan mematuhi aspek,” ujarnya.
Dalam pada itu mengulas tentang program, Aminuddin memberitahu sesi libat urus yang diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang pengeksportan durian serta potensi pasaran di China.
Tambah beliau, sesi libat urus itu juga memberikan maklumat terperinci berkenaan prosedur dan protokol eksport durian ke China, termasuk peraturan dan standard yang perlu dipatuti.
“Saya harap khususnya pekebun-pekebun kecil dapat memanfaatkan peluang seperti ini.
“Walaupun tanam sikit-sikit, tetapi dengan adanya pusat pengumpulan, mekanisme dan peraturan, Insya-Allah hasil durian akan sampai ke China yang akhirnya memberi pulangan baik,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] 1,000 metrik tan durian segar akan dieksport ke China […]