Azizi Ketua Polis Perak baharu

IPOH – Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa Selasa.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengalas tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula Isnin.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, dekat sini.

Selain itu, pada majlis sama turut berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak antara Azizi kepada Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.

Azizi, 60, yang berasal dari Kampung Cheh Kati, Kuala Kangsar itu memulakan khidmat dalam PDRM sebagai Inspektor Pencegahan Jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang Kelantan pada tahun 1987.

Beliau mula menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Perak bermula 8 November 2021 sebelum mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Perak, pada Selasa.

Pada majlis sama, berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak kepada Datin Wanita Wari sambil disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datin Sharifah Rodziah Syed Agil.

Pada Isnin, Mohd Yusri menerima tugas Pengarah JSPT menggantikan Timbalan Pengarah JSPT 1, Datuk Mohd Nasri Omar yang ditugaskan memangku jawatan berkenaan selepas persaraan Datuk Azman Ahmad Sapri pada 8 April lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri mula tugas Pengarah JSPT Bukit Aman hari ini

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI