Buruh paksa: Polis selamatkan 26 warga Bangladesh, India

IPOH – Polis berjaya menyelamatkan 26 warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dalam serbuan di sebuah bangunan di Kampung Seri Perkasa di Hutan Melintang, Bagan Datuk, pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejayaan itu hasil operasi yang gerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dan turut dibantu pasukan Bomba Hutan Melintang sekitar jam 1.30 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kesemua lelaki masing-masing 24 orang dari Bangladesh dan dua dari India itu telah dikurung di bangunan berkenaan selama lapan hari.

mangsa eksploitasi buruh paksa warga asing polis perak bagan datuk azizi
Bangunan menempatkan 26 warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dalam serbuan di sebuah bangunan di Kampung Seri Perkasa Hutan Melintang, Bagan Datuk. foto IHSAN PDRM PERAK

“Pemeriksaan di bangunan telah menemukan dua individu iaitu lelaki tempatan berusia 52 tahun dan lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai penjaga serta tinggal di bangunan sama.

“Suspek berkenaan telah diarahkan untuk membuka jeriji besi di hadapan bangunan sebelum memandu arah pihak berkuasa (di dalam premis).

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemukan 26 warga asing berusia 22 hingga 51 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan tidak dibayar gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Khamis.

mangsa eksploitasi buruh paksa warga asing polis perak bagan datuk azizi
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh.

Azizi memberitahu, kesemua warga asing yang ditemukan disyaki menjadi mangsa buruh paksa sebagai pekerja ladang di kawasan Hutan Melintang dan sekitarnya.

“Mereka ini baru sampai di negara kita dengan dipercayai ada individu lain yang membawa mereka ke sini. Mereka telah dikurung dan dikunci sehingga tidak boleh keluar dari bangunan tersebut,” katanya lagi.

Ujar beliau, susulan itu, hasil soal siasat awal dengan mereka yang diselamatkan telah berjaya membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Justeru Aziz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Pihak polis meminta orang ramai untuk tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah agar tindakan pemberantasan dapat dipertingkatkan,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Imigresen Perak serbu tiga premis, tahan 33 warga asing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI