Lelaki warga Thailand didenda RM30,000, miliki petrol tanpa lesen

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki warga Thailand didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki minyak petrol tanpa lesen, Jun lalu.

Tertuduh, Mustakeem Paenaeh, 50, turut didenda penjara selama lapan bulan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mahkamah juga menjatuhi hukuman kepada tertuduh untuk menjalani penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan hasil minyak petrol yang dirampas diserahkan kepada kerajaan di samping kenderaan milik lelaki itu dilucuthakkan.

Terdahulu, Mustakeem didakwa memiliki 90 liter minyak petrol RON 95 dalam tangki kereta jenis Proton Wira yang diubahsuai yang menimbulkan syak munasabah untuk berurus niaga tanpa lesen sah.

Hasil pemeriksaan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati, tukang masak di sebuah restoran di Betong itu cuba membawa kenderaan yang berisi bahan bakar bersubsidi keluar ke Thailand.

Perbuatan berkenaan melanggar seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesalahan itu dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, pada jam 4 petang, 19 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Hasyutantee Khalil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak rampas 20 tong gas, simpan tanpa permit

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI