IPOH – Kerajaan negeri Perak melihat kelab bola sepak Perak FC dan Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) perlu duduk berbincang bagi menentukan keperluan masing-masing demi pembangunan bola sepak di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata demikian bagi merujuk cadangan dua pasukan pembangunan yang bertanding di Piala Presiden dan Piala Belia diberikan semula kepada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) bagi bantu meringankan beban kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) termasuk Perak FC.
“Perkara ini perlu ada perbincangan, rundingan, permuafakatan antara Perak FC dengan PAFA dan kedua-dua pihak ni kena duduk berbincang untuk menentukan kehendak masing-masing. Kerajaan negeri akan sentiasa bersama demi pembangunan bola sepak di negeri kita.
“Tapi yang pentingnya perlu ada kerjasama, perbincangan antara dua-dua pihak supaya perkara ini akan dapat dilaksana dengan sebaik mungkin dan tidak menjejaskan pembangunan sukan bola sepak negeri Perak ini, inshaALLAH,“ katanya.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, Malaysia Football League (MFL) yang menjadi urus setia yang mengendalikan Liga M perlu melihat pelbagai berkaitan yang melibatkan kelab-kelab berkenaan.
“Sebagai urus setia yang mengendalikan Liga M, kita kena lihat ketidakkemampuan kewangan khususnya kelab dan persatuan itu juga perlu diambil kira supaya tidak timbul isu tidak boleh membayar gaji, isu kelewatan gaji dan berkaitan yang menyebabkan prestasi serta komitmen pemain pasukan berkurangan.
“Jadi, perkara ini perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin supaya tidak memberi kesan yang buruk kepada persatuan dan juga kelab yang akan mengikuti MFL,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin mencadangkan supaya dua pasukan pembangunan yang bertanding di Piala Presiden dan Piala Belia diberikan semula kepada FA bagi membantu meringankan beban kelab-kelab Liga M termasuk Perak FC.
Perkara itu kemudiannya disahkan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam satu kenyataan rasmi kelab pada Jumaat bahawa Bobie sudah tidak lagi bersama Perak FC dan beliau mengakui mungkin kekurangan daripada pihaknya dalam beberapa aspek menyebabkan perancangan awal tidak berjaya dicapai seperti mana diharapkan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak FC sahkan perletakan jawatan Bobie Farid