IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak berjaya menahan 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara dalam serbuan Ops Gegar di dua pusat hiburan dalam daerah Kinta, pada Ahad.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi penguatkuasaan itu dijalankan 26 pegawai termasuk dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, seramai 175 warga asing dan tempatan diperiksa dalam operasi berkenaan yang dijalankan bermula jam 1.30 pagi hingga jam 6 pagi.
“Kesemua mereka yang ditahan adalah terdiri daripada 25 perempuan warga negara China, perempuan warga negara Vietnam (16 ), perempuan warga Thailand (seorang), perempuan warga Indonesia (seorang) serta 10 lelaki warga Bangladesh.
“Mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun sehingga 45 tahun. Warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Meor Hezbullah, PATI yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
Tambah beliau, mereka juga disyaki melanggar Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
“Imigresen Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi
membantu JIM membanteras kehadiran PATI dalam negara ini.
“Selain daripada PATI, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji, melindungi atau membenarkan PATI berada di dalam premis tanpa permit yang sah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: