PAU 2024 perlu jadi medan angkat semula perjuangan sebenar UMNO

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula esok perlu dijadikan medan terbaik kepada seluruh perwakilan parti untuk menyatakan hasrat akar umbi bagi memperkasakan semula parti tersebut.

Pemerhati politik, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Ahmad Zaki Hasan berkata, PAU 2024 perlu mengangkat suara akar umbi yang mahu UMNO benar-benar memperjuangkan semula agenda Melayu secara terang-terangan.

Ujar Pensyarah Kanan, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkenaan, akar umbi UMNO perlu diyakinkan yang mana meskipun parti itu membentuk kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, namun dasar perjuangan UMNO dalam membela agama, raja dan tanah air tidak pernah berubah.

“Agak lama juga UMNO dianggap sebagai ‘menumpang kasih’ dalam Kerajaan Perpaduan meskipun memiliki kuasa, namun terpaksa bersikap ‘mendiamkan diri’ terhadap beberapa isu yang dahulunya UMNO lah jaguhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

PAU 2024 akan diadakan selama empat hari bermula esok hingga 24 Ogos depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, tambah Ahmad Zaki, tumpuan PAU 2024 juga pastinya untuk melihat kesepakatan perwakilan dalam menentukan hala tuju UMNO bersama-sama Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Tambah beliau, ahli akar umbi perlu diyakinkan yang mana memilih untuk menongkah arus dalam situasi politik hari ini bukanlah tempoh waktu yang terbaik bahkan boleh menenggelamkan UMNO.

“Pimpinan tertinggi mungkin telah membuat keputusan yang tidak popular bahkan mengecewakan sebahagian ahli, namun keputusan itulah yang masih dapat mengekalkan UMNO untuk berada dalam jentera pentadbiran negara,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, ruang dan peluang PAU 2024 perlu dicatur dengan teliti ‘ibarat menarik rambut dalam tepung” oleh pemimpin dan akar umbi UMNO supaya parti tersebut mampu bangkit dan kembali menjadi parti yang dominan dalam kerajaan hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI