LENGGONG – Pelaksanaan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) berpotensi mengukuhkan nilai integriti dalam kalangan generasi muda Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri berkata, justeru pihaknya memandang serius usaha ke arah penghayatan budaya integriti dalam melahirkan lebih ramai modal insan dalam kalangan graduan IPMa.
Katanya, ia supaya budaya membenci amalan rasuah dapat diterapkan dan seterusnya menjadi asas kepada nilai diri mereka.
“Integriti merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran serta moral tinggi.
“Integriti bermaksud melakukan sesuatu perkara yang betul dengan betul walaupun pada waktu tiada siapa yang melihat kita melakukannya.
“Maka daripada takrifan tersebut, mudah bagi kita hadamkan bahawa integriti adalah merupakan elemen yang wajib dihayati generasi muda sebagai bakal pemimpin negara” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kem AMAR IPMa Siri Tiga di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA (Puskep) Lenggong, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong serta Ketua Unit Integriti MARA, Shuhaimi Man.
Kem IPMa AMAR kali ketiga adalah siri yang terakhir untuk tahun ini yang mana ia dilaksanakan bersama rakan strategik SPRM iaitu Telekom Malaysia dan Al-Ikhsan.
Dalam pada itu Razlan berkata, kem berkenaan menggambarkan betapa pentingnya golongan pelajar diberi pendedahan awal serta kefahaman tentang cabaran jenayah rasuah sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
“Program seumpama ini boleh menyediakan platform kepada anak muda untuk mengekspresi pandangan dalam membanteras rasuah.
“Ia seterusnya dapat memberi pendedahan kepada mereka untuk menyalur maklumat berhubung advokasi antirasuah,” katanya lagi.
Seramai 99 pimpinan AMAR daripada 17 IPMa menyertai kem siri ketiga itu antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman (KKTM Kemaman), KKTM Kuantan, KKTM Pasir Mas, KKTM Balik Pulau, IKM Lumut, IKM Beseri, dan sebagainya.
Di samping itu, ia juga disertai wakil Kolej Poly-Tech (KPTM) MARA, KPTM Alor Setar, KPTM Ipoh, KPTM Kuantan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysian Spanish Institute (MSI) serta UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RSMP). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MARA peruntuk RM2 bilion taja pelajar dalam, luar negara tahun ini