SUV terbabas tebing curam 30 meter, pemandu dan penumpang selamat

TAIPING – Pemandu dan penumpang hadapan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier terselamat walaupun kenderaan dinaiki mereka terbabas di tebing curam berketinggian 30 meter (m) di Kilometer (KM) 217.5 Lebuhraya Plus Utara Selatan arah utara, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.04 pagi dan sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan SUV Toyota terbabas di tebing curam dengan anggaran ketinggian 30 meter.

“Kita turut menemui dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 24 tahun yang tersepit dalam kenderaan tersebut serta seorang lelaki berusia 27 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketua operasi mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa dapat dikeluarkan.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Katanya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Mustafa Kamal Ismail itu tamat sepenuhnya jam 9.08 pagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua maut, dua cedera parah kereta hilang kawalan, langgar tembok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI