IPOH – Persimpangan lampu isyarat Jalan Ghazali Jawi hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Ashman Shah (Jalan Hospital) akan ditutup satu arah bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam ini susulan insiden jambatan mendap di Jalan Kamarudin Isa (Fairpark), di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bagaimanapun, laluan dari arah Jalan Hospital ke Jalan Ghazali Jawi dibuka seperti biasa untuk pengguna jalan raya.
Menurutnya, berikutan itu, polis telah menjalankan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa.
“Penutupan jalan ini bertujuan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih semula jambatan yang mendap dan terjejas di kawasan tersebut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya, khususnya warga ipoh supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan jalan dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan kejadian jalan retak dan berlubang di Jalan Kamaruddin Isa berdekatan kawasan kerja naik taraf kelubung itu adalah disebabkan berlakunya hakisan tebing berhampiran struktur kelubung paip yang disiapkan pada awal Ogos melalui kaedah jacking.
Katanya, melalui semakan Jabatan Kejuruteraan Infra, hakisan tebing tersebut berlaku disebabkan korekan oleh pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur inlet di mulut masuk kelubung tersebut.
“Kerja-kerja pengukuhan tebing telah mula dilaksanakan dengan kaedah pemasangan bag pasir dan rekahan serta lubang di permukaan jalan juga telah dikambus dengan bahan batuan hancur bagi tindakan segera di tapak untuk mengelakkan berlakunya runtuhan yang lebih serius.
“Pihak jabatan menjangka kerja-kerja pembinaan struktur inlet akan siap dilaksanakan dalam tempoh seminggu. Terdapat juga kerja pemasangan ‘U drain’ yg perlu disambungkan dari inlet sedia ada ke muka kelubung,“ jelas kenyataan yang dikeluarkan MBI hari ini.
Justeru, kerja-kerja naik taraf itu dijangka akan sepenuhnya pada pertengahan September ini dan pengguna jalan raya diharap dapat mematuhi papan tanda arahan keselamatan di kawasan ini untuk keselesaan masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jambatan runtuh: 70 peratus pemegang akaun air di Muallim terjejas