GERIK – Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam memastikan setiap seorang anak-anak Orang asli yang berada dalam kawasan pedalaman mendapat akses pendidikan yang terbaik.
Jika sebelum ini, mereka perlu mengharungi perjalanan jauh sama ada dengan berjalan kaki atau menggunakan bot, kini inisiatif Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan K11 memberi harapan kepada mereka dalam memperoleh ilmu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ketika ini KPM sedang memperluaskan dan menambah bilangan sekolah yang boleh melaksanakan usaha berkenaan.
Katanya, ketika ini sebanyak 11 sekolah dalam kategori K9 telah mula beroperasi sejak Mac lalu dengan menjadikan ia sebanyak 28 buah sekolah K9 berada di seluruh negara.
Ujar beliau lagi, sementara dua sekolah dalam kategori K11 juga mula beroperasi dalam tempoh sama melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Betau di Kuala Lipis, Pahang dan SK Long Bedian di Baram, Sarawak.
“Untuk bangunan tambahan baharu bagi sekolah K9, KPM sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembangunan di SK Menanam serta SK Buis di Telupid, Sabah.
“Sementara SK Pulau Redang sedang dalam perancangan bagi pengoperasian di bawah kategori sama bermula tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke SK RPS Banun, di sini, yang berada dalam kategori K9, pada Rabu.
Sekolah dalam kategori K9 menyediakan pendidikan di sekolah sama bermula dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3, sementara K11 bermula dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5.
Tambah Kah Woh berkata, KPM juga kini sedang dalam usaha mengenalpasti bilangan sekolah yang berpotensi untuk di letakkan sama ada di bawah kategori K9 mahupun K11 di seluruh negara.
“Ini merupakan antara usaha KPM dalam memastikan lebih banyak sekolah K9 dan K11 dapat ditubuhkan agar tiada anak-anak kita yang terpinggir atau tertinggal daripada menerima akses pendidikan,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau meninjau blok bangunan baharu bagi pembelajaran di bawah K9 yang mula beroperasi pada Julai 2023.
Fasiliti itu merangkumi bilik guru, tandas, bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta bilik darjah yang dilengkapi dengan smart board atau papan pintar interaktif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Dalam lawatan kerja berkenaan, Kah Woh turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada SK RPS Banun bagi tujuan penyelenggaraan kecil dan fasiliti sekolah.
Kata beliau, sekolah berkenaan merupakan antara sekolah kerajaan yang telah menerima sebahagian daripada peruntukan RM38,000 daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sebelum ini bagi tujuan sama.
Pada masa sama, Guru Besar SK RPS Banun, Mohd Zamarol Ahmad memberitahu, sekolah berkenaan kini menempatkan 304 murid Orang Asli dari 18 kampung melibatkan suku Jahai dan Temiar.
Kata beliau, daripada jumlah itu, 12 merupakan murid pra-sekolah, sekolah rendah (152) dan sekolah menengah (140) serta dibimbing 26 orang guru.
“Sekolah ini telah diasaskan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada tahun 1979 sebelum diambil alih KPM 1993.
“SK RPS Banun juga mempunyai asrama di bawah program asrama desa yang berkapasiti 150, dan kini ia menempatkan 122 murid,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sekolah di Perak perlu patuh garis panduan KPM terima sumbangan