Polis tahan 8 lelaki curi kabel TM

IPOH – Polis menahan lapan lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Keliling, Taman Canning di sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menahan kesemua  lelaki berusia antara 18 hingga 16 tahun di Kampung Bharu, di sini pada jam 3.30 pagi tadi.

Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan aduan seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada di hadapan rumah di Jalan Perlis melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) berwarna oren membuka lurang (manhole) di atas jalan dan menarik kabel sepanjang 300 meter milik TM.

“Pengadu kemudian bertindak menghubungi pihak polis dan apabila suspek menyedari kehadiran pengadu, mereka terus melarikan diri menggunakan dua buah lagi kenderaan jenis Axia berwarna biru dan Myvi berwarna putih.

“Hasil semakan rekod jenayah ke atas semua tangkapan mendapati seramai tujuh daripada suspek memiliki rekod jenayah dan dadah.

“Pihak polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel berkenaan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat.

Polis tahan 8 lelaki curi kabel TM
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris pada sidang media berkenaan kes curi kabel di Taman Canning, Ipoh yang berlaku awal pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 SEPTEMBER 2024.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,“ katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi curi kabel di sini, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Azizi berkata, kertas siasatan berhubung kecurian kabel melibatkan 247 kes bermula Januari hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 76 kes berjaya sudah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan polis.

“Kita melihat terdapat trend peningkatan bagi kecurian-kecurian yang melibatkan kabel TM, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Celcom Digi, Maxis, U Mobile dan lain-lain.

“Saya memandang serius perkara ini mereka bukan sahaja mencuri (kabel) tetapi turut menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur yang terdapat di tepi-tepi jalan yang boleh menyebabkan bahaya kepada orang ramai,“ ujarnya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan berbincang serta membuat penyeliaan bersama rakan-rakan strategik daripada syarikat telekomunikasi terlibat untuk mencari kaedah terbaik bagaimana kabel lama dapat dilindungi, dialihkan atau cara dilupuskan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lempar objek besi: Empat lelaki curi kabel ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI