IPOH – Nenek kepada enam cucu antara yang turut bersama-sama memeriahkan Keretapi Sarong 2024 (KS24) yang diadakan di Stesen Keretapi Ipoh di sini pada Sabtu.
Fatimahtul Zuhrara Saad, 58, dari Meru Raya berkata, walaupun program tersebut sudah berlangsung selama dua tahun di Ipoh, dia baru pertama kali berpeluang untuk menyertainya pada edisi ketiga tahun ini.
Dia yang hadir bersama rakan-rakannya mengenakan pakaian berkebaya labuh berwarna hitam dan berkain batik bersama hiasan bunga di kepala dan payung kertas bagi memenuhi tema ‘Bangga Malaysia’.
“Saya rasa ada program ada keunikan kerana melibatkan pelbagai bangsa. Ia sangat menarik dan sesuatu yang saya dapat lihat dengan mata kepala sendiri.
“Hari ini saya datang bersama rakan-rakan baik saya dan ada juga yang datang dari Kuala Kangsar menaiki kereta api,” katanya ketika ditemui media pada hari ini.
Menurutnya, program tersebut perlu diteruskan supaya generasi masa hadapan dapat melihat perpaduan antara kaum di Malaysia.
“Saya sangat menyokong program seperti ini yang melibatkan pelbagai budaya serta etnik perlu diteruskan untuk tatapan generasi masa hadapan” ujarnya.
Surirumah, Mariani Mohd Hussien, 47, dari Taman Cempaka berkata, dia memilih pakaian tradisional kaum India lehenga untuk menghadiri program berkenaan.
“Pakaian saya ini saya beli sendiri berharga RM100 lebih dan program ini sangat baik kerana menonjolkan kebudayaan satu Malaysia.
“Lehenga yang saya pakai pada hari ini adalah busana tradisional India yang dipakai sewaktu majlis keramaian seperti perkahwinan dan sebagainya,” katanya.
Lebih 1,000 masyarakat berbilang kaum dari Perak serta negeri berhampiran menunjukkan semangat patriotik dengan menyertai program KS24 yang diadakan di Stesen Keretapi Ipoh di sini pagi tadi.
Program yang diadakan bersempena Hari Malaysia ini dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO dan Kelab Sosial Ipoh (ISC) berjaya menghimpunkan rakyat dengan mengenakan pelbagai busana tradisional. – MG Perak
Artikel Berkaitan: