Ibu tunggal cekal sara, didik lapan anak hingga berjaya

IPOH – Kecekalan seorang ibu tunggal yang berjaya menyara dan mendidik lapan anak mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak pada Isnin.

Kini, Rohani Tandaik, 65, mampu menarik nafas lega apabila kesemua anaknya telah mendapat pendidikan sempurna serta memiliki kerjaya yang baik.

Menurut pesara Pembantu Tadbir Kesetiausahaan itu, dia mula menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak-anaknya selepas kematian suami, Ramli Norddin akibat kanser paru-paru kira-kira 26 tahun lalu.

Katanya, ketika itu anak sulungnya baru mencecah umur 18 tahun manakala anak bongsu baru berusia tiga tahun.

“Pahit getir membesarkan anak itu biasalah sebagai ibu tunggal. Walaupun saya ada pendapatan tetap sebagai penjawat awam namun memandangkan anak yang ramai dan keperluan yang agak besar saya perlu menambah pendapatan dengan membuat kerja sampingan.

Ibu tunggal cekal sara, didik lapan anak hingga berjaya
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Keluarga Mithali kepada Rohani Tandaik pada sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M peringkat negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 SEPTEMBER 2024.

“Saya mengambil tempahan kuih raya, membuat hantaran, menjahit langsir dan apa-apa sahaja kerja yang boleh dilakukan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Alhamdulillah, saya sentiasa mendapat sokongan moral daripada pegawai kanan dan sahabat yang memberikan dorongan supaya jangan berputus asa dan kuatkan semangat dalam membesarkan kelapan-lapan anak,” katanya ketika ditemui media Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini pada Isnin.

Rohani berkata, dia kekal tenang apabila berhadapan dengan masalah serta bersabar dan berusaha untuk mengatasinya dengan berbincang bersama anak-anak.

“Usaha saya disokong dengan doa dan anak-anak pun memahami mereka tidak mempunyai ayah dan hanya ada ibu. Alhamdulillah, mereka tidak pernah menimbulkan masalah.

“Selain itu, saya selalu ingatkan anak-anak yang arwah ayah mereka ingin melihat mereka semua berjaya dan menjadi tanggungjawab serta amanah saya untuk membesarkan mereka dalam suasana yang baik,“ jelasnya.

Ibu tunggal cekal sara, didik lapan anak hingga berjaya
Penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali, Rohani Tandaik bersama keluarganya pada sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M peringkat negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 SEPTEMBER 2024.

Nenek kepada 17 cucu itu juga selalu mengingatkan anak-anaknya supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menyusahkan keluarga.

“Ada kalanya memang rasa sukar sikit terutamanya sewaktu anak-anak masih kecil, ada yang masuk asrama, ada yang kena hantar ke institut pengajian tinggi (IPT), melawat anak, menguruskan pendaftaran itu melibatkan pengurusan masa.

“Pada masa sama, saya turut terlibat dengan aktiviti masyarakat setempat seperti di surau, Puspanita (Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia) selain berkerja sebagai penjawat awam jadi dari segi masa agak mencabar,“ katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ibu tunggal rebah kediaman terbakar Syawal ketiga

MGPerak : Ibu Tunggal Penerima Tokoh Keluarga Mithali Besarkan Lapan Anak Hingga Berjaya

MGPerak : Ibu Tunggal Penerima Tokoh Keluarga Mithali Besarkan Lapan Anak Hingga Berjaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI