IPOH – Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Roselind Nadiera Talib dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pertandingan Pidato Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Serantau sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj 2024 di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Pertandingan anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berlangsung selama dua hari bertemakan “Maqasid Syariah Teras Matlamat Pembangunan Mampan” melibatkan 14 peserta IPT dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Roselind Nadiera yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan USAS, membahaskan pidato bertajuk “Maqasid Syariah dan Lima Asasnya: Kunci Pembangunan Mampan dan Sejahtera”.
Kemenangan tempat ketiga itu melayakkan Roselind Nadiera menerima hadiah wang tunai sebanyak BND600 (RM1,931.39).
Tempat pertama dimenangi oleh Mukhlisul Mubin Julasapiyah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan pidato bertajuk “Maqasid Syariah Melestari MADANI” manakala tempat kedua dianugerahkan kepada Najmi Adli Mustaffa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan pidato bertajuk “Memaknai Nilai Manusiawi Dari Akar Islami”.
Tempat pertama menerima wang tunai BND1,000 (RM3,218.98) manakala tempat kedua menerima wang tunai BND800 (RM2,575.18). Kesemua pemenang turut menerima trofi dan sijil.
Hadiah telah disampaikan oleh Rektor UNISSA, Datuk Seri Setia Dr Nurarfan Zainal. – MG Perak
Artikel Berkaitan: