53,000 individu bawah 30 tahun dibebani hutang RM1.9 billion

KUALA LUMPUR – Penemuan baharu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan seramai 53,000 individu bawah 30 tahun di negara ini dibebani dengan hutang hampir RM1.9 bilion.

AKPK juga melaporkan 28 peratus rakyat dewasa yang bekerja, terpaksa meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perangkaan ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bagi kebanyakan orang, pengetahuan kewangan masih belum diterjemahkan ke dalam kesediaan kewangan tulen, di mana mendedahkan jurang yang besar antara memahami konsep kewangan dan mencapai kesejahteraan kewangan sebenar terutamanya dalam kalangan komuniti yang lebih terdedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Literasi Kewangan Kebangsaan (FLM) 2024 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah memberitahu, hanya 36 peratus rakyat Malaysia menunjukkan pemahaman tentang konsep kewangan asas seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko.

Beliau berkata, Tinjauan Celik Kewangan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi menunjukkan angka itu jatuh di bawah purata global sebanyak 42 peratus dan meletakkan Malaysia di tangga ke-26 daripada 39 negara yang dikaji.

Menurutnya, tahap celik kewangan yang rendah ini membimbangkan memandangkan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia di mana sehingga 2023, hutang isi rumah telah mencecah RM1.53 trilion.

“Jumlah itu bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu salah satu nisbah tertinggi di rantau ini.

“Angka yang membimbangkan ini menunjukkan isi rumah semakin bergantung kepada kredit untuk membiayai gaya hidup dan pelaburan mereka.

“Jika tidak diurus dengan teliti, tahap hutang sedemikian boleh menyebabkan tekanan kewangan jangka panjang, mengukuhkan peranan penting yang dimainkan oleh celik kewangan dalam melindungi kesihatan kewangan,” katanya.

Amir Hamzah menambah, kebolehcapaian yang semakin meningkat bagi pinjaman peribadi, kad kredit, dan terutamanya skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian amat membimbangkan terutamanya di kalangan golongan muda dan dewasa.

Ujar beliau, walaupun platform itu mungkin menawarkan kemudahan namun kekurangan pemahaman tentang implikasinya dan kekurangan disiplin dalam menguruskan komitmen boleh membawa kepada hutang yang tidak terurus dengan cepat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI