Chalet tiub janji pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang

PENGGUNA Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di kawasan Tapah pastinya akan terpesona dengan pandangan ikonik air terjun antara yang tertinggi di Asia Tenggara menuruni Banjaran Titiwangsa.

Berketinggian 850 meter, Air Terjun Lata Kinjang sememangnya bukan suatu destinasi asing buat penggemar kawasan rekreasi terutama yang mahu lari sebentar daripada hiruk-pikuk ‘belantara konkrit’.

Masyarakat tempatan mendakwa, nama Lata Kinjang dipercayai berasal daripada haiwan kijang yang dikatakan sering berkeliaran di kawasan air terjun berkenaan suatu masa dahulu.

Dek kerana sebutan pelat oleh Orang Inggeris yang datang berburu, perkataan kijang kemudiannya bertukar kepada ‘kinjang’ dan ia terus kekal dengan nama Lata Kinjang sehingga kini.

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Pengunjung tidak melepaskan peluang bermandi-manda menikmati kesejukan air terjun Lata Kinjang di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

Terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari pekan Tapah, Taman Eko Rimba Lata Kinjang menjanjikan pengalaman percutian menarik kerana ia kaya dengan flora dan fauna.

Mana tidaknya, pemandangan dan bunyi arus deras air terjun dilatari bunyi-bunyian unggas mencipta suasana yang tidak boleh didapati di kota raya.

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Pengunjung tidak melepaskan peluang bermandi-manda menikmati kesejukan air terjun Lata Kinjang di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

Bagi yang ingin bermalam, Taman Eko Rimba Lata Kinjang menyediakan 15 tempat penginapan yang dibina daripada kolong atau paip pembetung konkrit, dikenali sebagai chalet tiub.

Lebih menarik, pembangunan taman eko rimba itu diusahakan masyarakat Orang Asli setempat melalui penubuhan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Setiausaha KOALKB, Rani Bah Ulin berkata, kesemua chalet tiub yang berketinggian lebih daripada 1 meter itu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti katil, tilam, soket dan penyaman udara.

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Temubual Setiausaha Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB), Rani Bah Ulin di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

“Setiap satu chalet itu mampu memuatkan dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak kecil. Daripada 15, 10 chalet tiub ada disediakan tandas berasingan di luar, sementara lima lagi setiap satunya dilengkapi dengan tandas serta sinki.

“Bagi yang suka aktiviti berkhemah pula, kami juga menyediakan 10 tapak perkhemahan di lokasi sama,” katanya ketika ditemui MG Perak, di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Chenderiang dekat Tapah, baru-baru ini.

Tambah Rani, lima chalet tiub yang dilengkapi dengan tandas ditawarkan satu malam pada harga RM150 pada hari biasa, dan RM170 hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Chalet tiub di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.
Suasana malam sekitar chalet tiub di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

Katanya, sementara 10 tiub penginapan yang lain ditawarkan pada harga RM100 pada hari biasa serta, pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan (RM120).

“10 chalet tiub telah dibangunkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) pada tahun 2019, sementara lima yang lain dibangunkan NCIA pada tahun lalu,” katanya lagi.

Di samping itu ujarnya, Taman Eko Rimba Lata Kinjang turut menawarkan perkhidmatan penghantaran sarapan pagi dari tiub ke tiub dengan caj tambahan RM20.

Jelas Rani, dengan perkhidmatan itu pengunjung boleh menikmati juadah istimewa seperti nasi lemak, roti bakar, mi goreng, minuman panas dan sejuk, dan sebagainya.

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Pekerja Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) mengemas bilik chalet tiub selepas menerima tempahan pelanggan di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat galeri Sengoi Hik Discovery Centre selepas merasmikannya di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 MAC 2024.

Selain bermandi-manda di Air Terjun Lata Kinjang, Rani berkata, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik termasuk merasai masakan dalam buluh, mengunjungi Galeri Sengoi Hik Discovery Centre serta aktiviti kembara hutan dan mendaki gunung.

“Mereka yang melakukan aktiviti kembara hutan akan diiringi malim gunung terlatih. Pada sepanjang perjalanan, dia akan memberi penerangan tentang tumbuhan-tumbuhan hutan yang boleh ditemui di sini.

“Pada masa sama, malim gunung itu juga akan menceritakan tentang kisah-kisah mitos yang dikaitkan dengan kawasan ini seperti misteri sumpahan Sang Kelembai dan puteri bunian,” katanya.

Terima kunjungan pelancong dari Eropah, Asia Barat

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Tapak perkhemahan di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 MAC 2024.

Menurut Rani, pihaknya menggalakkan orang ramai untuk melakukan tempahan awal sekiranya bercadang untuk bermalam atau melakukan aktiviti di Taman Eko Rimba Lata Kinjang.

Kata beliau, tempahan boleh melalui laman sesawang https://tamanekorimbalatakinjang.com.my/ atau menghubungi terus pihak pengurusan taman eko rimba sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut.

Chalet tiub pengalaman menarik pengunjung Lata Kinjang Orang Asli Rani pengunjung air terjun tapah
Setiausaha Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB), Rani Bah Ulin memantau pekerjanya ketika menerima tempahan pelanggan untuk chalet tiub di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

“Taman Eko Rimba Lata Kinjang sering menerima sambutan yang memberangsangkan baik daripada pelancong domestik mahupun luar negara.

“Setakat Ogos tahun ini, kami menerima kehadiran 58,914 orang pengunjung tempatan, manakala 1,930 dari luar negara seperti dari negara-negara Eropah, Asia Barat dan di negara-negara serantau,” katanya.

Setiausaha Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB), Rani Bah Ulin berbincang sesuatu bersama pekerja chalet tiub di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

Rani berkata, penubuhan KOALKB dan taman eko rimba itu secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada aliran ekonomi khususnya terhadap lebih 200 penduduk Suku Semai di Kampung Orang Asli Lata Kinjang

Jelas beliau, seramai 27 orang tenaga kerja tempatan terlibat dalam menguruskan Taman Eko Rimba Lata Kinjang, di samping pengagihan dividen sebanyak 130 peratus kepada anggota KOALKB sejak dua tahun lalu.

Rancang tambah tarikan terbaru

Tambah Rani, pihaknya bercadang untuk menambah beberapa tarikan terbaru di kawasan seluas 227.93 ekar itu sebagai daya tambah kepada nilai pelancongan pengalaman di taman eko rimba itu.

Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 SEPTEMBER 2024.

“Kami merancang untuk mewujudkan kawasan kampung kebudayaan yang mana kami mahu memaparkan lebih banyak budaya dan tradisi Orang Asli kepada pengunjung, seperti melalui seni tarian.

“Pada masa sama, kami sedang berusaha untuk bekerjasama dengan kawasan berhampiran agar dapat diadakan konsep menang-menang dalam membangunkan tarikan-tarikan pelancong baharu. Ia secara tidak langsung memberi lebih banyak limpahan ekonomi,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak mahu model ekonomi Lata Kinjang diperluas ke semua kampung Orang Asli

NCIA peruntuk RM61.2 juta laksana empat projek pelancongan di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI