Mangsa banjir Perak meningkat, Hilir Perak daerah baharu dinaiki air

IPOH – Mangsa banjir di Perak terus merekodkan peningkatan kepada 1,682 orang pada pagi Selasa selepas sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak dalam satu kenyataan berkata, Hilir Perak merupakan daerah terbaharu terjejas banjir menjadikan jumlah daerah terjejas banjir di negeri ini kepada lima buah.

Menurut JBPN Perak, sebuah PPS di daerah Mualim iaitu Dewan Kampung Batu 4, ditutup pada jam 8 pagi tadi menjadikan jumlah PPS yang masih dibuka kepada 10 buah.

“Jumlah mangsa di enam PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai di Kerian; SK Lasah dan Dewan Pandak Hamzah, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Kuala Kangsar serta SK Kuala Slim dan SK Slim River di Mualim masih kekal.

“Bagaimanapun terdapat penambahan mangsa empat PPS melibatkan SMK RLKT di Kuala Kangsar; SK Kerunai dan SK Pahit di daerah Hulu Perak dan Dewan Serbaguna Padang Tembak di daerah Hilir Perak,” katanya.

Tambahnya lagi sebanyak 23 kampung yang ditenggelami air di lima daerah terlibat sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke PPS dan belum dibenarkan pulang.

Tambah kenyataan sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Perak di Kuala Kenderong Hulu Perak telah melepasi paras bahaya dengan bacaan 112.16 meter setakat jam 10.45 malam tadi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:
1,586 mangsa banjir di Perak ditempatkan di 10 PPS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI