BAGAN DATUK – Seekor buaya betina seberat 25 kilogram (kg) ditemukan tersangkut pada jaring nelayan di Bagan Pasir, di sini pada Rabu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan reptilia itu sekitar jam 11.30 pagi.
Menurutnya, seramai empat anggota dan pegawai APM Daerah Bagan Datuk bergegas ke lokasi untuk melihat situasi tersebut.
“Setibanya di lokasi, didapati seekor buaya tersangkut pada jaring nelayan dan kita menghubungi Jabatan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Teluk Intan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata, pihaknya ada menerima maklumat daripada APM Bagan Datuk berhubung penemuan buaya itu.
“Buaya tembaga sepanjang 5.2 kaki itu dipercayai berusia dua tahun, jawabnya ringkas ketika dihubungi hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: