Bentuk muka bumi, geografi persekitaran punca banjir di SMK Lambor Kiri

IPOH – Bentuk muka bumi dan geografi persekitaran yang rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri dalam daerah Perak Tengah dikenal pasti punca berlakunya banjir di sekolah berkenaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama Pegawai Daerah (DO), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan wakil agensi kerajaan Persekutuan/Negeri bagi membincangkan perkara tersebut, kelmarin.

Menurutnya, hasil perjumpaan tersebut beberapa perkara telah dimaklumkan berkaitan kejadian banjir di sekolah berkenaan.

Bentuk muka bumi, geografi persekitaran punca banjir di SMK Lambor Kiri
Keadaan SMK Lambor Kiri yang dinaiki air baru-baru ini.

“Sekolah terbabit dibangunkan di kawasan tanah bendang serta dikelilingi oleh ladang kelapa sawit yang menyebabkan semua air larian hujan (final discharge) dari ladang kelapa sawit mengalir masuk ke kawasan sekolah sehingga menyebabkan berlakunya banjir.

“Semakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah mendapati bahawa sistem perparitan sekolah didapati tidak sempurna dan tidak diselenggara dengan baik serta sistem perparitan ini di bawah bidang kuasa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Bentuk muka bumi, geografi persekitaran punca banjir di SMK Lambor Kiri
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika meninjau keadaan SMK Lambor Kiri. Foto Facebook Khairudin Abu Hanipah

“Selain itu, struktur sistem perparitan sedia ada iaitu jenis parit tanah tidak mampu untuk menampung air larian hujan yang banyak menyebabkan air larian dalaman sekolah tidak dapat keluar dengan sempurna ke parit buang JPS.

“Sekolah ini juga terletak berhampiran dengan terusan utama bagi Pengairan Seberang Perak yang mana ketika musim menanam padi, air perlu disalurkan ke petak sawah yang akan menyebabkan berlakunya kenaikan aras air di sepanjang jajaran terusan utama tersebut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairudin berkata, JPS telah memasang dua pintu kepak (flap gate) masing-masing pada 7 Oktober 2022 dan 25 Ogos 2023 di kawasan parit buang bagi mengurangkan impak banjir di kawasan sekolah.

Tambahnya, pemasangan pam mudah alih untuk mengeluarkan air yang bertakung di kawasan sekolah juga telah dilaksanakan JPS Daerah Perak Tengah pada 9 Oktober 2024.

Untuk rekod, masalah banjir di sekolah tersebut sudah berlaku sejak lebih 10 tahun sehingga menggusarkan ibu bapa dan warga sekolah berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Perak terus meningkat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI