Perak terus beri peluang pembantu tadbir tingkat kemahiran teknologi terkini

IPOH – Kerajaan negeri Perak komited untuk memastikan pembantu tadbir terus diberi peluang meningkatkan kemahiran teknologi terkini melalui pelbagai program latihan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peralihan kepada era digital ini menuntut penjawat awam, termasuk pembantu padbir, untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan automasi dan digitalisasi.

Menurutnya, menerusi kemahiran terkini, secara tidak langsung dapat memastikan perkhidmatan awam menjadi lebih cekap dan responsif.

“Namun, peranan pembantu tadbir bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi juga amanah besar.

“Setiap dokumen yang diuruskan, setiap maklumat yang dijaga, adalah kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

“Integriti dalam melaksanakan tugas adalah asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan.

“Maka, integriti dan amanah harus sentiasa dijadikan pegangan dalam apa jua yang dilakukan,” katanya.

Perak terus beri peluang pembantu tadbir tingkat kemahiran teknologi terkini
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap sekaligus merasmikan program Wacana Hala Tuju Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir Negeri Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Wacana Halatuju Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir Negeri Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani memaklumkan bahawa selain cabaran teknologi, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) juga memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan Pembantu Tadbir.

“Skim perjawatan ini adalah salah satu yang tertua dalam perkhidmatan awam dan antara yang paling banyak menyumbang kepada Kajian SSPA yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Sebanyak 3,524 responden terlibat dan 8,499 cadangan telah diutarakan. Ini menunjukkan betapa kritikalnya isu skim perjawatan ini dan bagaimana pembantu tadbir telah memberi input besar kepada pembangunan SSPA.

“Bagaimanapun, kita sedar bahawa penggredan pembantu tadbir pada masa ini tidak mencerminkan tanggungjawab besar yang mereka pikul.

“Gesaan untuk menaikkan kelayakan pembantu tadbir daripada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kepada STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) atau setaraf diyakini mampu meningkatkan profesionalisme perkhidmatan awam.

“Dalam konteks ini saya yakin dan percaya kerajaan akan meneliti sebaik mungkin cadangan daripada Auegcas (Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan) termasuk syor untuk menaikkan gred pembantu tadbir kepada Gred 29 supaya memberi manfaat besar kepada mereka,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penjawat awam disaran sumbang idea inovasi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI