Dua PPS di Hilir Perak rekod pertambahan mangsa

IPOH – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dalam daerah Hilir Perak merekodkan pertambahan mangsa setakat jam 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPM) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan PPS tersebut adalah Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Serbaguna Chikus.

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa banjir terus merekodkan peningkatan dengan 1,619 orang daripada 505 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS sekitar lima daerah di negeri ini.

“Di Hilir Perak, dua PPS yang menunjukkan peningkatan iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan PPS Dewan Serbaguna Chikus masing-masing menempatkan 148 mangsa daripada 48 keluarga serta 83 orang daripada 21 keluarga.

“PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap masih kekal dengan 147 mangsa daripada 42 keluarga,” kata kenyataan tersebut.

Ujar kenyataan itu, setakat ini, jumlah mangsa di daerah Kuala Kangsar, Perak Tengah, Kerian dan Kampar masih kekal.

“Daerah Kuala Kangsar merekodkan jumlah mangsa seramai 911 daripada 284 keluarga yang berlindung di tiga PPS sekitar Sungai Siput iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah, Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah.

“Tiga PPS di daerah Perak Tengah juga masih kekal dengan jumlah mangsa seramai 227 mangsa daripada 76 keluarga serta mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, SK Dato‘ Sagor dan SMK Sultan Muzafar Shah 1.

“Selain itu, PPS SK Kota Baharu dalam daerah Kampar masih kekal menempatkan 41 mangsa daripada 15 keluarga sejak mula dibuka pada Rabu lalu.

“Manakala, dalam daerah Kerian, dua PPS iaitu di SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai masing-masing menempatkan 35 serta 27 mangsa daripada 11 dan lapan keluarga,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Rui di Hulu Perak telah melepasi aras amaran sementara dengan catatan 165.91 meter.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, FT147 Jalan Bagan Serai – Changkat Lobak di Kerian ditutup untuk semua kenderaan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif A111 Jalan Alor Pongsu – Bukit Merah.

“A175 Jalan Selat Pulau – Pebayan di Perak Tengah turut ditutup untuk semua kenderaan namun mereka boleh menggunakan tiga laluan alternatif iaitu A290 Jalan Utama Jambatan Dato’ Sagor, A289 Jalan Ulu Dedap -Teluk Sena dan A233 Jalan Masuk Kompleks Pasir Salak

“Bagaimanapun, A18 Jalan Bota Kiri – Teluk Sena di daerah sama ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan,“ ujarnya.

Tambahnya, A144 Jalan Pasir Garam – Pulau Tiga hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja dan orang ramai boleh melalui A018 Jalan Bota Kiri – Jambatan Dato‘ Sagor. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: Satu PPS dibuka di Hilir Perak, jumlah mangsa terus meningkat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI