Mangsa kemalangan maut teruja mahu bercuti minggu ini

GUA MUSANG – Shazwani Ismail, 39, seorang daripada lima mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan lori dan kereta Perodua Myvi di KM86 Jalan Gua Musang-Lojing semalam teruja untuk bercuti di Cameron Highlands, Pahang.

Kakak mangsa Najdiah, 41, berkata Allahyarham mahu bercuti di pusat peranginan itu minggu ini bagi mengelak kesesakan pada perayaan Deepavali minggu hadapan dan mengikut perancangan, mereka sepatutnya tiba semalam dan pulang hari ini.

“Konvoi kami membabitkan tiga kenderaan dengan kereta dinaiki Shazwani dipandu oleh adik, Farhana, 35, berada paling belakang dari dua kereta keluarga lain.

“Setelah berhenti di sebuah stesen minyak, kereta mereka yang turut dinaiki dua ahli keluarga lain tidak kunjung tiba dan mereka gagal dihubungi (panggilan telefon),” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini semalam.

Najdiah berkata ketika itu dia beranggapan telefon Shazwani dan tiga yang lain mungkin tiada liputan, jadi mereka memutuskan untuk meneruskan perjalanan.

Walau bagaimanapun, katanya mereka mengambil keputusan untuk berpatah balik menjejaki adiknya setelah kesemua mangsa tidak menjawab panggilan telefon.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan itu, kami nampak sebuah lori terbabas dan pada masa sama ternampak serpihan kereta adik di atas jalan.

“Setelah memberhentikan kereta dan mendapatkan anggota polis yang berada di situ, saya dimaklumkan bahawa kereta dinaiki mereka (mangsa) terjatuh ke dalam gaung,” katanya.

Terdahulu, jurucakap bomba melaporkan tiga lelaki dan dua wanita maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Jalan Gua Musang-Lojing hari ini.

Lima yang maut ialah Mohd Junaizi Jusoh, 48; Shazwani Ismail, 39, Farhana Ismail, 35, Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 20, kesemuanya menaiki kereta Perodua Myvi dan pemandu lori G.Mageswara, 53.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 11 pagi apabila lori dari arah Cameron Highlands menghala ke arah Lojing hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Lori tersebut, katanya telah bertembung dengan kenderaan yang dinaiki empat mangsa terbabit sehingga menyebabkan ia jatuh ke dalam gaung, manakala kenderaan berat tersebut terbalik di atas jalan di laluan bertentangan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI