TANGGAL 10 Oktober pada setiap tahun, seluruh dunia akan menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia sebagai langkah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental kepada setiap individu.
Pada tahun ini, ‘Sudah tiba masanya kesihatan mental di tempat kerja diberi keutamaan’ menjadi tema kepada sambutan di peringkat global itu.
Isu kesihatan mental di tempat kerja menjadi hal yang sering diutarakan sejak akhir-akhir ini, terutama pada pasca pandemik, apabila isu tekanan sama ada secara fizikal atau mental terhadap pekerja menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Media baru-baru ini melaporkan lebih 40,000 penjawat awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi berikutan kegagalan mereka menangani tekanan di tempat kerja.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, maklumat itu adalah hasil dapatan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan dari 1 Mac hingga September lalu.
Sementara Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun lalu turut menunjukkan bahawa satu pertiga rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas berdepan dengan masalah mental, dan angka itu dijangka akan terus meningkat.
Justeru dalam soal ini, Kerajaan Negeri Perak melihat hal berkaitan kesihatan dan kesejahteraan secara umumnya merupakan antara lima keperluan rakyat yang diberi keutamaan sebagaimana digariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Tidak terkecuali apabila kerajaan negeri tutut menyifatkan isu kesihatan mental di tempat kerja bukan sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh.
Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan, isu psikososial di tempat kerja merupakan isu mustahak yang memberi impak besar terhadap produktiviti terhadap suatu institusi atau organisasi.
Katanya, hal ini kerana kesihatan mental terhadap pekerja memberi kesan langsung kepada nilai reputasi kerja, kepuasan pelanggan serta kualiti hidup secara umumnya.
Justeri beliau menegaskan, setiap individu mempunyai peranan masing-masing khususnya dalam usaha membanteras serta menguruskan isu masalah kesihatan mental di tempat kerja mereka.
“Bagi pihak majikan, adalah penting untuk memahami beban kerja pekerja, menyediakan ruang kerja yang kondusif dan menawarkan sokongan psikologi jika perlu.
“Pengurusan yang empati, komunikasi yang efektif, menzahirkan penghargaan dan saling menghormati adalah asas dalam mengelakkan berlakunya masalah mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Hospital Bahagia Ulu Kinta, di Ipoh, baru-baru ini.
Di samping itu, Sivanesan juga menyarankan kepada golongan pekerja, untuk turut mengambil langkah proaktif dalam menguruskan tekanan di tempat kerja demi melahirkan prestasi kerja yang baik
Jelas beliau, persekitaran kerja yang positif harus diwujudkan seperti tidak memendam sebaliknya bertanya atau berkongsi masalah dengan rakan sekerja yang lebih arif.
“Selain itu, setiap daripada kita juga perlu lebih peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling. Penurunan prestasi kerja, kelesuan dan masalah disiplin adalah antara indikator yang menunjukkan seseorang pekerja mungkin mengalami masalah kesihatan mental,” tambahnya lagi.
Namun pada masa sama Sivanesan berkata, stigma terhadap kesihatan mental juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan sebarang prasangka buruk dalam kalangan pekerja.
Ujar beliau, sebaliknya sesiapa yang didatangi rakan sekerja yang mengadu mengalami masalah mental harus diselidiki serta bersedia untuk menghulurkan tangan bagi meringankan beban.
“Marilah kita mengingatkan antara satu sama lain bahawa perasaan dan emosi di tempat kerja merupakan perkara yang perlu dititik beratkan.
“Budaya kerja yang harmoni akan melahirkan rasa suka untuk bekerja dan secara langsung akan meningkatkan kualiti serta produktiviti kerja,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: