Perak pacu revolusi mineral negara menerusi TML

PERAK terus memacu revolusi dalam industri mineral negara menerusi penubuhan makmal analisis komersial Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Terletak di kawasan Perindustrian Gopeng, makmal yang dibina menerusi Perbadanan Menteri Besar (MBInc) itu menelan belanja RM12 juta yang turut menempatkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE).

Makmal tersebut dilengkapi peralatan saintifik berteknologi tinggi seperti Inductively Coupled Plasma Mass Spectometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Flourescense (WDXRF) dan Micro X-Ray Flourescense (Micro-XRF).

Peralatan tersebut berupaya menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral khususnya unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dengan ketepatan dan ketelitian yang tinggi.

Segalanya bermula apabila projek perintis NR-REE lantanida dilaksanakan di Mukim Kenering, Gerik di Hulu Perak kira-kira dua tahun lalu.

Perak memacu revolusi mineral negara menerusi penubuhan TML
Pembantu makmal Terra Mineral Lab (TML) melakukan kerja-kerja makmal pada Majlis Perasmian TML dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Perkarangan Pejabat TML Gopeng, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 3 OKTOBER 2024.

Kerajaan negeri Perak mula menerima royalti RM1.66 juta hasil perlombongan nadir NR-REE lantanida pada bulan Februari 2023.

Hasil tersebut adalah pengeksportan pertama produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) sebanyak 296.2 tan metrik.

Projek yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu telah memulakan operasi pada bulan Oktober 2022 setelah memperolehi kelulusan dari segi perundangan termasuk agensi teknikal berkaitan serta kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.

Setakat ini, kerajaan negeri telah menerima RM30.88 juta royalti hasil perlombongan NR-REE lantanid dengan jumlah eksport sebanyak 8,157.340 metrik tan REC ke negara China melalui 24 kali penghantaran bermula Februari 2023 sehingga Mei lalu.

Kejayaan itu secara tidak langsung mampu mengukuhkan kedudukan negeri dalam peta industri mineral global sejajar dengan agenda Perlombongan Bertanggunjawab seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Perak memacu revolusi mineral negara menerusi penubuhan TML
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Perkarangan Pejabat TML Gopeng, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 3 OKTOBER 2024.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, penubuhan TML menunjukkan kesungguhan dan keazaman Perak untuk meletakkan asas yang kukuh dalam pembangunan industri mineral terutamanya unsur nadir bumi secara mampan, bukan sahaja di Perak, tetapi di Malaysia dan peringkat global.

“Dalam konteks ini, Perak bukan hanya bercita-cita untuk terus menjadi pengeluar sumber mineral berkualiti dan bernilai tinggi, tetapi juga menyerlahkan reputasi dan potensi kita sebagai pemimpin dalam penyelidikan dan pemprosesan teknologi mineral.

“Unsur nadir bumi adalah aset pembangunan teknologi masa hadapan. Ia digunakan secara meluas dalam pembuatan komponen kereta elektrik, tenaga solar, turbin angin, dan pelbagai alat elektronik canggih,” katanya ketika berucap pada perasmian TML dan CoE di kawasan Perindustrian Gopeng baru-baru ini.

Beliau berkata, pada masa kini, lebih 85 peratus pengeluaran lantanida dunia dikuasai oleh China.

“Oleh itu, dengan adanya TML di Perak, kita berada di landasan tepat untuk menyumbang kepada kepelbagaian rantaian bekalan global, sekaligus mengurangkan pergantungan dunia kepada suatu sumber.

Perak memacu revolusi mineral negara menerusi penubuhan TML
Pembantu makmal Terra Mineral Lab (TML) melakukan kerja-kerja makmal pada Majlis Perasmian TML dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Perkarangan Pejabat TML Gopeng, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 3 OKTOBER 2024.

“Pada masa sama, penubuhan TML dan CoE, kita mampu mempercepatkan proses penerokaan, analisis dan seterusnya ke arah pemprosesan mineral yang lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan TML bukan sahaja berfungsi sebagai makmal tetapi turut dilengkapi dengan teknologi terkini.

“Penubuhan makmal ini membolehkan kita menjalankan analisis yang tepat dan terperinci terhadap NR-REE serta mineral-mineral lain serta memastikan ketepatan dalam setiap keputusan yang diambil.

“Makmal tersebut juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia yang akan membolehkannya diiktiraf sebagai makmal rujukan utama negara dalam analisis mineral.

“Ini adalah satu langkah besar. Ia akan dapat memastikan bahawa setiap hasil analisis dari TML diakui di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekaligus memperkukuh kedudukan Perak sebagai peneraju dalam bidang strategik ini,” jelasnya.

Perak memacu revolusi mineral negara menerusi penubuhan TML
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada sesi lawatan ketika hadir pada Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Perkarangan Pejabat TML Gopeng, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 3 OKTOBER 2024.

Ujar beliau, menerui teknologi yang dimiliki oleh TML dan CoE ia mampu meneroka potensi mineral di Perak serta membuka ruang kepada inovasi yang akan membawa manfaat besar kepada ekonomi dan memposisikan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.

“Kita yakin dengan teknologi terkini dan piawaian antarabangsa yang dipegang oleh TML, kita dapat bersaing di peringkat global dan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang ini untuk memperkukuhkan ekonomi negeri dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBInc, Anuar Zainal Abidin berkata, perkhidmatan yang disediakan makmal tersebut tidak terhad kepada Perak tetapi diperluaskan kepada pihak berkepentingan.

“Antaranya termasuk pemain industri carigali dan perlombongan, industri penyelidikan dan industri lain di seluruh negara.

“Pada masa yang sama, penubuhan CoE akan membuka ruang kepada pembangunan modal insan.

“Kerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) serta institusi penyelidikan tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan memastikan anak-anak Perak terlibat dalam penyelidikan bertaraf dunia.

“Inisiatif ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat negeri ini, terutama golongan muda yang ingin menceburi bidang industri mineral yang inovatif,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kesihatan mental di tempat kerja tidak dipandang enteng kerajaan Perak

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI