LARUT – Seorang lelaki patah kaki selepas dihempap pokok sawit yang tumbang ketika menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sungai Kuning, Selama, dekat sini, pada Sabtu.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 20 tahun sedang berteduh daripada hujan di bawah kanopi berhampiran pokok berkenaan bersama dua individu lain.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.44 tengah hari.
Katanya, sejurus selepas itu lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Kejadian itu melibatkan tiga mangsa lelaki yang mana dua daripada mereka berusia 20 tahun, sementara seorang berusia 17 tahun.
“Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki, pada masa sama dua lagi mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Ujar Sabarodzi, pasukan bomba yang berada di lokasi melakukan kerja-kerja pemotongan terhadap pokok sawit yang tumbang dengan menggunakan gergaji berantai.
Menurut beliau, mangsa yang mengalami kecederaan parah berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada pasukan petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hafidz Md Rahim itu tamat pada jam 2.48 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: