‘Polis dibayar gaji untuk berkhidmat, penuhi kehendak rakyat’

IPOH – Setiap anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan untuk sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan iaitu rakyat di negara ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ini kerana masyarakat umum menganggap polis sebagai ‘role model’ yang mampu menyampaikan tugas dengan baik.

Katanya, setiap anggota dan pegawai polis juga diingatkan untuk sentiasa menjaga imej PDRM melalui perkhidmatan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

PDRM polis rakyat pegawai dan anggota negara perkhidmatan kehendak ketua polis azizi perak
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika berucap pada Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 NOVEMBER 2024.

“Walaupun saya sudah hampir bersara menjadi ketua polis selama empat bulan, apabila saya ke warung dan kedai, ramai bertegur serta hendak bergambar.

“Ini menggambarkan anggota dan pegawai polis dihormati oleh rakyat. Mereka mengharapkan apa (daripada polis)?

“Berikan rakyat apa yang mereka mahu (memberikan perkhidmatan yang terbaik). Ini kerana kita dibayar gaji untuk memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

PDRM polis rakyat pegawai dan anggota negara perkhidmatan kehendak ketua polis azizi perak
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris melambai tangan ke arah pegawai dan anggota polis pada Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 NOVEMBER 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini pada Jumaat.

Tambah Azizi, dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, setiap warga PDRM juga diingatkan untuk sentiasa memastikan integriti, kekuatan dan keharmonian organisasi dipelihara.

Kata beliau, sumber manusia iaitu aset utama PDRM Perak juga harus terus diberi latihan dan ilmu dalam menghadapi pelbagai ancaman alaf baru di luar.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika sesi bergambar pada Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 NOVEMBER 2024.

“Setiap individu dan konstabel itu amat bernilai, seperti berlian-berlian kecil yang apabila disusun akan menjadi buah rantai atau sebentuk cincin yang cantik dan akan menarik perhatian.

“Ingat, walaupun anggora dan pegawai merupakan salah seorang daripada aset di dalam organisasi ini, tetapi kilauan permata yang ada pada semua itu akan menjadikan organisasi ini dilihat sebagai yang terbaik,” ujarnya lagi.

Menurut Azizi, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Polis Perak secara rasmi kerana bersara wajib pada 10 November ini selepas 38 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Jelas beliau, selepas berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Perak bermula 8 November 2021, beliau diamanahkan tugas sebagai Ketua Polis Perak pada 16 Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menerima cenderahati nombor badannya semasa berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 NOVEMBER 2024.

“Pastinya tidak banyak yang dapat saya rancang dan melaksanakannya sebagai Ketua Polis Negeri Perak. Sebenarnya banyak dalam benak hati saya untuk menguruskan Polis Kontinjen Negeri ini.

“Ilmu mencurah-curah datang dalam tempoh empat bulan itu. Tetapi apakan daya, usaha ini akan diteruskan oleh kepimpinan baru yang merupakan juga orang yang hebat,” kata beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis buru lelaki, wanita cuba ancam nyawa anggota

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI