IPOH – Timbalan Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat memangku jawatan Ketua Polis Perak selepas Datuk Azizi Mat Aris bersara wajib pada Ahad ini.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, dekat sini, pada Jumaat.
Selain itu, turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Perak antara Datin Wanita Wari kepada Zaleta Ibrahim.
Azizi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Perak menggantikan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bermula 16 Julai lalu.
Beliau yang berasal dari Kampung Cheh Kati, Kuala Kangsar itu memulakan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pencegahan Jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang Kelantan pada tahun 1987.
Azizi kemudian menggalas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak bermula 8 November 2021 sebelum kemudian mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Perak.
Terdahulu, Azizi dan Wanita dibawa menaiki kenderaan istiadat polis pada Majlis Paluan Berundur di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, dekat sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Polis dibayar gaji untuk berkhidmat, penuhi kehendak rakyat‘