KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Melaka menyambut baik komitmen Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid Tingkatan 6.
Khoo Poay Tiong berkata, langkah ini sangat dialu-alukan dan akan membawa perubahan positif kepada ribuan murid Tingkatan 6 yang selama ini menghadapi cabaran kewangan tanpa bantuan kewangan khusus.
Dalam belanjawan tahun 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM788 juta untuk BAP, yang akan ditingkatkan kepada RM791 juta pada tahun 2025 bagi meringankan beban keluarga dalam penyediaan keperluan asas persekolahan bagi semua pelajar sekolah.
Bagaimanapun, katanya, pelajar Tingkatan 6 sering terlepas pandang dalam mendapatkan sokongan yang diperlukan, berbanding pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Matrikulasi yang menerima elaun sara hidup.
“Dengan komitmen yang telah diberikan oleh Menteri Pendidikan, kita berharap bantuan ini dapat memberi dorongan kepada lebih ramai murid Tingkatan 6 untuk terus berusaha tanpa perlu terbeban dengan perbelanjaan harian yang boleh mengganggu fokus pembelajaran mereka,” katanya.
Langkah ini juga, kata beliau, mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pendidikan yang lebih inklusif dan saksama untuk semua. – MalaysiaGazette