BATU GAJAH – Kempen Tahun Melawat Perak 2024 disifatkan berjaya apabila ia melepasi sasaran yang ditetapkan setakat ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, bagaimanapun perincian berkenaan perkembangan itu akan diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
“Apa yang saya boleh katakan setakat ini ialah kita sudah melepasi angka-angka yang kita sasarkan pada kempen Tahun Melawat Perak 2024.
“Namun perincian lanjut akan diumumkan Menteri Besar Perak pada persidangan DUN yang akan dijadualkan berlangsung dalam beberapa minggu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perasmian Program Akhir Tahun Warga Perak di Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE (ESCAPE) Ipoh di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa serta Pengasas dan Pengerusi Sim Leisure Group, Datuk Sim Choo Keng.
Perak meletakkan sasaran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa dengan pulangan RM10 bilion melalui Tahun Melawat Perak 2024.
Bagi merancakkan kempen itu, sebanyak 120 acara telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri.
Mengulas lanjut Sze Yee memberitahu, ia merupakan perkembangan baik selain berharap momentum itu dapat diteruskan sehingga menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Jelas beliau, kejayaan kempen tahun melawat negeri bukan untuk bersaingan dengan negeri lain, sebaliknya ia adalah usaha bersama dalam merancakkan lagi sektor pelancongan domestik.
“Situasi selamat di Malaysia khususnya di Negeri Perak antara salah satu faktor yang berjaya menarik lebih ramai kehadiran pelancong.
“Di samping pelancongan pengalaman, kepelbagaian budaya melalui masyarakat yang majmuk dan sikap ramah warga setempat turut membantu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri,” katanya lagi.
Terdahulu pada majlis Sze Yee memberitahu, ESCAPE Ipoh menawarkan potongan 30 peratus harga tiket masuk ke Taman Inspirasi Alam Semulajadi itu khusus untuk warga Perak.
Tawaran Promosi Warga Perak itu boleh ditebus melalui laman sesawang ESCAPE Ipoh pada pautan https://www.escape.my/ipoh bermula 15 November sehingga 31 Disember depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: