IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi peluang kepada penduduk di bandar raya ini untuk mengemukakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran yang dijangka akan dilaksanakan bermula 2025.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihak Majlis turut berhasrat untuk memanggil semua pemilik yang telah membuat bantahan berdasarkan Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan 1976 susulan pelaksanaan nilaian baharu tersebut.
“Sebarang keputusan untuk mengekal atau menurunkan cukai yang dikenakan adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Bantahan yang akan diadakan.
“Jawatankuasa mesyuarat boleh membuat pertimbangan jika pembantah menyediakan dokumen yang diperlukan iaitu dokumen sokongan yang relevan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, walaupun kadar peratusan cukai yang dikenakan di Ipoh dianggap tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 16.5 peratus, namun ia telah diturunkan kepada sembilan peratus bagi kategori bangunan kediaman dan perniagaan (sekim).
“Walaupun kadar sembilan peratus dianggap tinggi namun Majlis telah memberikan subsidi bagi mengimbangi kenaikan nilai tahunan yang tinggi.
“Senario nilai sewaan pada masa kini adalah tinggi yang akan menyebabkan pengiraan nilai tahunan baharu juga tinggi.
“Kenaikan berganda ini akan memberi impak kepada pembayar cukai amnya. Ketidakseimbangan antara cukai sebenar dan cukai dibayar adalah ditakrifkan sebagai subsidi.
“Justeru, berdasarkan ekonomi semasa, Majlis tidak bercadang untuk mengubah subsidi dalam waktu terdekat,” ujarnya.
Sehubungan itu, warga Ipoh yang ingin membuat bantahan tersebut boleh menghantar surat rasmi secara dalam talian di emel penilaian@mbi.gov.my atau secara fizikal di Jabatan Penilaian dan Hartanah sebelum 22 November ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: