SUNGAI SIPUT – Tabung Haji melalui Yayasan Didik Negara memperuntukkan RM499,740 bagi sumbangan peranti tablet, papan pintar atau ‘smartboard’ dan peranti kemudahan capaian internet kepada pelajar Orang Asli di Kelantan, Pahang dan Perak tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, inisiatif bersama yayasan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah usaha meluaskan lagi akses pendidikan kepada pelajar di luar bandar.
Katanya, usaha itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani melalui Dasar Pendidikan Digital Negara dalam menyediakan kemudahan digital kepada semua golongan pelajar.
“Kerjasama ini melibatkan 13 sekolah di Perak, Kelantan dan Pahang yang mana Tabung Haji menyumbangkan 13 smartboard, 474 unit tablet, dan 11 unit peranti satelit Starlink bagi kemudahan bilik darjah digital.
“Di samping itu, Tabung Haji turut memberi bantuan pembelajaran di luar bilik darjah melalui Program Peningkatan Jati Diri dan Lawatan Sambil Belajar.
“Ia menyasarkan kepada empat Jabatan Pendidikan Negeri iaitu di Johor, Negeri Sembilan Selangor dan Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peranti Tablet, Smartboard Serta Starlink oleh Tabung Haji Melalui Yayasan Didik Negara di Sekolah Murid Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, dekat sini pada Isnin.
Majlis dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengarah Pendidikan Negeri, Safuan Raba’ai.
Tambah Syed Hamadah, pihaknya komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bukan sahaja menyokong aspek pengurusan atau ibadah haji, malah turut mahu memastikan masyarakat mendapat manfaat dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Kami percaya bahawa komitmen dalam membantu ke arah pendidikan yang berkualiti adalah kunci untuk membangunkan masa hadapan yang lebih cerah.
“Ia bukan sahaja buat penerima sumbangan tetapi bagi melahirkan masyarakat dan negara yang lebih maju dan sejahtera,” ujarnya.
Terdahulu Safuan dalam ucapan berkata, tujuh sekolah murid Orang Asli di Perak dipilih Tabung Haji melalui Yayasan Didik Negara bakal menerima sumbangan sama.
Kata beliau, ia melibatkan 269 peranti tablet, tujuh televisyen pintar, dan lima unit peranti internet Starlink.
“Sumbangan peralatan ini sudah tentu akan memberi faedah dan manfaat yang amat berguna dalam proses pembelajaran murid bagi menyahut seruan KPM ke arah Dasar Pendidikan Digital Negara,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: