IPOH – Rata-rata penduduk di negeri ini menzahirkan harapan tinggi terutamanya berkaitan kebajikan rakyat sempena Belanjawan Perak 2025 yang dijangka dibentangkan akhir bulan ini.
Kakitangan awam, Nur Syuhada Mohamad Azman, 35, berpendapat bahawa belanjawan pada tahun hadapan perlu lebih fokus kepada wanita khususnya dari golongan B40, ibu tunggal dan suri rumah.
“Saya berharap Bajet Perak 2025 dapat memberi manfaat kepada semua rakyat khasnya golongan wanita seperti suri rumah, fakir miskin dan ibu tunggal.
“Diharap kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan yang sesuai bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Seperti bantuan dari segi kewangan sedia ada jumlahnya ditambah berbanding sebelum ini,“ ujarnya ketika ditemui MG Perak pada Isnin.
Nur Syuhada turut mencadangkan supaya kadar Kad Perak Sejahtera dinaikkan lebih tinggi berbanding sebelum ini selaras dengan keadaan ekonomi pada masa kini.
“Selain itu, diharap pihak kerajaan negeri dapat menyediakan kursus bersesuaian supaya dapat membantu golongan wanita yang memerlukan untuk meningkatkan taraf ekonomi institusi kekeluargaan mereka,“ katanya.
Dalam perkembangan sama, penjawat awam, Muhammad Faridzul Amir Hamid, 35, berkata, dia berharap ada berita baik pada belanjawan kali ini khususnya bagi sektor pendidikan dan golongan belia.
“Saya harap Bajet Perak 2025 dapat memberi kesejahteraan menyeluruh kepada rakyat Perak. Mungkin fokus saya lebih kepada pendidikan dan pembangunan belia di negeri ini.
“Contohnya dari segi banyakkan peluang pekerjaan (kepada golongan belia) dan biasiswa dapat disalurkan secara menyeluruh kepada anak-anak Perak yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), Izman Idris, 57, berkata, kerajaan negeri perlu menambah baik perkara yang berkaitan jika terdapat kekurangan pada seluruh PBT di Perak.
“Sebagai seorang penjawat awam dari pihak berkuasa tempatan (PBT), saya berharap Bajet Perak 2025 dapat membantu PBT di Perak khususnya dari segi perkembangan perumahan dan perkara lain yang berkaitan.
“Apa yang kurang ditambahkan. Semoga Bajet Perak 2025 dapat memberikan kesejahteraan kepada semua PBT di negeri ini,” jelasnya.
Tahun lalu, Belanjawan Perak 2024 yang dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memperuntukkan RM1.35 billion dengan mengekalkan tema sama seperti 2023, ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’. – MG Perak
Artikel Bekaitan:
Belanjawan Perak 2025: Usaha sedia infra pelancongan menjelang TMM