KUALA LUMPUR – Dalam tempoh hanya dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pelbagai projek pembangunan yang memberikan limpahan manfaat kepada negara dan ekonomi telah dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selain fokus kepada projek mega, pelbagai projek yang berpaksikan rakyat turut tidak terlepas daripada perhatian dan menjadi keutamaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selain daripada memberikan fokus kepada projek mega yang memberi limpahan manfaat kepada ekonomi rakyat dan negara, kejayaan-kejayaan lain yang berpaksikan rakyat itu juga penting termasuklah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT).
Selain pembangunan menerusi KKR, Nanta berkata dalam tempoh dua tahun ini pelbagai reformasi telah dilaksanakan Perdana Menteri yang tidak boleh disangkal manfaatnya.
“Beberapa langkah reformasi saya lihat telah mula dilaksanakan. Pertama ialah penyelarasan semula subsidi diesel. Itu penting kerana dengan usaha ini dapat menjimatkan beberapa bilion dalam setahun yang boleh kita salur balik kepada rakyat untuk membantu rakyat.
Menurutnya pentadbiran Perdana Menteri juga sangat objektif dalam pelaksanaan dasar dan polisi bagi memastikan Malaysia membangun dengan makmur.
“Saya melihat Perdana Menteri sangat objektif dalam dasar, polisi dan hendak kita membangun sebagai negara Malaysia dan makmur bersama. Jadi inilah Kerajaan MADANI dan saya percaya dalam masa dua tahun ini banyak kita sudah capai dan jika diberi masa lagi saya ingat kita akan dapat menambahkan apa yang kita dah capai sekarang,” katanya.
— BERNAMA