221 projek Perak Sejahtera 2030 siap, sedang dijalankan

IPOH – Sebanyak 221 projek bersamaan 81 peratus di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 telah siap sepenuhnya dan sedang dijalankan sehingga tahun kedua pelaksanaannya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan Laporan Kemajuan Kedua Perak Sejahtera yang telah diluncurkan pada 10 Jun lalu melaporkan sebanyak 273 projek dan program dilaksanakan di bawah pelan berkenaan.

“Meskipun Perak Sejahtera 2030 baru memasuki tahun kedua pelaksanaannya, sebanyak 47 projek atau 17.2 peratus berada di dalam status siap sepenuhnya manakala 174 atau 63.8 peratus masih dalam pelaksanaan dan 52 projek atau 19 peratus dalam perancangan.

“Berdasarkan Dashboard Perak Sejahtera 2030, terdapat 10 projek dan program yang didaftarkan iaitu Pelancongan dan Pemuliharaan Warisan @ Beting Beras Basah, Bagan Datuk International Gateway, Taman Agroteknologi MARDI Bagan Datuk (Cocostourism) dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan – Zon Industri Akuakultur (TKPM-ZIA) Bagan Datuk.

“Turut dilaksanakan projek Bagan Datuk International Fishery Industrial Park, Pembinaan Medan Ikan Bakar (MIB) Bagan Datuk, Kajian Kebolehlaksanaan Infrastruktur Luaran bagi Perak Heavy Industrial Park (PHIP), Program Penanaman Kelapa Matag, Pekan Kecik Simpang 4 Rungkup, Tapak Industri Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Makanan melibatkan pengusaha produk makanan di Dataran Waterfornt Bagan Datuk,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahaya (BN-Rungkup) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal (KSP) Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Kajian itu akan melihat dan mengkaji semula penetapan dan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera termasuklah meneliti Penetapan Petunjuk Utama bagi setiap Agenda, Pengkhususan Daerah serta Flagship di dalam pelan tersebut.

“Ini supaya kita dapat memperkukuhkan kemampanan negeri, membangunkan masyarakat yang sejahtera dan menjadikan negeri perak sebuah negeri yang progresif dan berdaya saing,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelan Perak Sejahtera 2030: Kerajaan Negeri dalam landasan betul

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI