IPOH – Perak mencatatkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan dengan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM3.04 bilion daripada 166 projek bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, daripada jumlah tersebut RM2.85 bilion melibatkan pelaburan domestik manakala RM184.2 juta adalah pelaburan asing.
Menurutnya, sektor perkilangan menyumbang RM601.5 juta daripada 30 projek melibatkan RM457.3 juta pelaburan domestik dan RM144.2 juta pelaburan asing manakala sektor perkhidmatan menyumbang RM2.44 bilion daripada 136 projek membabitkan RM2.4 bilion pelaburan domestik dan RM40 juta pelaburan asing.
“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan 1,560 peluang pekerjaan, dengan 1,249 pekerjaan dalam sektor pembuatan dan 311 pekerjaan dalam sektor perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Sze Yee memaklumkan di Taiping jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak RM272.7 juta.
Katanya, pelaburan tersebut terdiri daripada RM112.3 juta pelaburan domestik dan RM160.4 juta pelaburan asing.
“Projek-projek ini, yang diuruskan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), merangkumi 17 projek yang dijangka mencipta 277 peluang pekerjaan.” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaburan baharu di Taiping turut menunjukkan perkembangan positif.
“Beberapa projek sedang dibangunkan secara aktif, termasuk kilang pembuatan produk elektrik dan elektronik, komponen mesin, dan produk sektor semikonduktor.
“Pelaburan ini melibatkan pelabur domestik yang memperluaskan operasi mereka dari Pulau Pinang serta pelabur asing yang membekalkan kepada syarikat multinasional di rantau ini.
“Projek-projek ini dijangka siap dan mula beroperasi antara 2025 hingga 2026,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak terima pelaburan RM100 juta melalui pembukaan kilang cat