Perak HIP fokus tiga segmen hasil produk halal

IPOH – Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) di Manjung akan memberi tumpuan kepada tiga segmen utama iaitu Gelatin dan Ekosistem; Gudang Sejuk Beku dan Logistik; serta Pemprosesan Makanan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) itu sudah pasti akan membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menyewa kemudahan itu.

Katanya, Pembangunan Perak HIP yang melibatkan segmen pemprosesan berasaskan daging juga secara tidak langsung dapat menjadi pemangkin kepada produktiviti industri pedaging tempatan.

Ujar beliau, walau bagaimanapun usaha itu memerlukan penglibatan bersama agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation (HDC).

“JPV menyediakan kepakaran khidmat nasihat dan Skim Pensijilan Veterinar atau Pemeriksaan dan Akreditasi Veterinar (VHM) khusus bagi premis/kilang pengeluaran makanan berasaskan ternakan.

“Skim Pensijilan VHM ini penting untuk dimiliki oleh syarikat yang terlibat dalam industri pengeluaran makanan berasaskan ternakan untuk mengembangkan pasaran produk keluar negara.

“JPV juga berperanan dalam pembangunan industri pedaging tempatan melalui penyediaan khidmat nasihat teknikal, latihan kepada penternak, serta memastikan amalan penternakan yang beretika dan efisien,” katanya.

Perak HIP fokus tiga segmen hasil produk halal Saarani JPV makanan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (BN-Manong) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Tambah Saarani (BN-Kota Tampan), Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Halal Development Corporation (HDC) turut memainkan peranan penting dalam menguruskan pensijilan halal di Perak HIP.

Kata beliau, JAKIM akan memastikan semua produk keluaran Perak HIP mematuhi syarat yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020, termasuk pemberian tauliah sembelihan dan sebagainya.

Jelas Saarani lagi, HDC pula bertanggungjawab dalam merangka dasar dan strategi pembangunan halal secara holistik meliputi pembangunan infrastruktur halal, pasaran global, serta bimbingan dan sokongan teknikal.

“Selain daripada pengeluaran gelatin halal dan daging sejuk beku, Perak HIP juga dijangka akan memangkin kepada pengeluaran lain-lain produk, antaranya produk sedia dimakan, farmaseutikal serta nutraseutikal,” katanya. – MGPerak

 

Artikel Berkaitan:

Sektor halal: Perak pikat lima pelabur asing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI