IPOH – Perak berjaya mengatasi sasaran 350,000 pelancong antarabangsa yang berkunjung ke negeri ini bersempena kempen Tahun Melawat Perak 2024.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, setakat ini seramai 609,249 pelancong antarabangsa direkodkan telah berkunjung dan bermalam di Perak setakat ini.
Katanya, maklumat itu diperoleh daripada data tidak rasmi daripada ‘Hotel Guest Survey’ yang melibatkan pensampalan daripada 40 hotel yang berdaftar dengan Tourism Malaysia.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen Malaysia pula menunjukkan kemasukan 104,861 orang pelancong antarabangsa melalui pintu masuk negara di Pengkalan Hulu setakat September lalu.
“Daripada jumlah itu, majoriti berasal dari Thailand dengan seramai 92,099 orang, diikuti Singapura (5,347), China (2,020), Indonesia (1,231), dan Vietnam (1,111).
“Sementara itu, kemasukan pelancong antarabangsa melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 63,974 orang.
“Sebilangan besar pelancong ini datang dari Singapura iaitu seramai 52,025 orang, diikuti Australia (1,806), China (1,651), dan India (1,279),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Tambah Sze Yee, perkembangan positif ini memberi keyakinan kepada kerajaan negeri bahawa sasaran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa mampu dicapai menjelang akhir tahun ini.
Kata beliau, ia sekali gus membuktikan keberkesanan strategi promosi serta usaha memperkasa sektor pelancongan negeri.
“Mengikut data tidak rasmi, jumlah pelancong dan pelawat harian yang berkunjung ke Negeri Perak telah mencapai sebanyak 7.41 juta orang pada penghujung suku tahun ketiga tahun ini.
“Ia juga adalah daripada pensempelan 209 produk daripada 422 produk pelancongan yang terdapat di Negeri Perak, termasuk data pelancongan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan operator pelancongan,” jelasnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: