Pusat Data di Bagan Datuk bawa limpahan kepada Perak – MB

LENGGONG – Pembangunan Pusat Data Peringkat Empat di Bagan Datuk, Perak, bukan sahaja membawa limpahan pembangunan kepada daerah tersebut tetapi juga di seluruh negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri akan menyediakan tanah bagi pembangunan pusat data berkenaan.

“Sebelum dibuat program (Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA)) di Kuala Lumpur itu, syarikat terlibat telah datang memberi taklimat kepada kerajaan negeri.

“Dalam mesyuarat Exco kita meneliti dan berpuas hati bahawa projek tersebut akan memberi limpahan pembangunan kepada Bagan Datuk dan Perak kerana ia berkaitan data,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir ke Program Jelajah Sejahtera Desaku@Kota Tampan dan Kenduri Rakyat di Dataran Tasik Raban, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana memudahkan urusan berkenaan.

“KKDW datang membawa pelaburan dan kerajaan negeri membantu dari aspek tanah yang lain semua di bawah Mara Incorporated Sdn Bhd dan anak syarikat KKDW,” katanya.

Saarani dalam ucapannya pada Majlis MOA tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, pusat data tersebut bakal memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan digital kerajaan, termasuk kemudahan akses kepada maklumat perkhidmatan seperti bantuan dan peruntukan kerajaan.

Dengan inisiatif tersebut, kerajaan negeri tidak hanya membangunkan sebuah pusat data, tetapi juga memacu transformasi digital negeri Perak, menjadikannya contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

“Kerajaan Negeri Perak menyediakan insentif kepada pelabur, termasuk sokongan dari segi dasar, infrastruktur dan jaringan bagi memastikan ekosistem digital yang dinamik dan mampan,” katanya.

Malaysia Gazette sebelum ini melaporkan Pembangunan Pusat Data Peringkat Empat di Bagan Datuk, Perak berpotensi menjadi pusat simpanan data utama pelbagai agensi kerajaan.

Ia susulan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Mara Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Privasiabytes Sdn Bhd, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek yang dijangka bermula Oktober 2026 itu akan menjadi infrastruktur strategik milik kerajaan susulan peningkatan teknologi digital yang mendadak seperti big data analytics, Internet of things (IoT), blockchain technology, artificial intelligence (AI) dan cybersecurity. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pusat simpanan data utama agensi kerajaan akan dibina di Bagan Datuk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI