Tanjung Malim – Program ‘University to Community (UTC) 2.0’ berpotensi sebagai pemangkin kepada usaha kerajaan memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, selain menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, program itu membuktikan kolaborasi berimpak tinggi antara kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), industri, dan komuniti setempat, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2021–2025.
“Keusahawanan adalah satu daripada teras penting dalam pembangunan IPT, dan melalui program seperti UTC 2.0, diyakini dapat melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja bersedia untuk mencipta peluang pekerjaan tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negara secara langsung.
“Sehingga kini, lebih 150,000 mahasiswa terbabit dalam aktiviti keusahawanan di kampus, manakala lebih 10,000 graduan IPT memilih untuk menjadi pencipta pekerjaan (‘job creator’) selepas tamat pengajian. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Mustapha berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan program UTC 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
Beliau berkata, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN) yang memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan sosial, di mana elemen teknologi dan inovasi diterapkan untuk menyelesaikan cabaran komuniti.
“Lebih 420 peserta dari pelbagai IPT, termasuk universiti awam dan swasta, membentangkan 21 projek perniagaan yang melalui proses validasi dan membabitkan lebih 1,000 ahli komuniti, termasuk golongan asnaf, pesara tentera, dan OKU, yang telah dibantu sama ada melalui peluang pekerjaan atau peningkatan pendapatan.
“Pendekatan ini penting untuk merakyatkan IPT, malah kita mahu komuniti setempat merasai impak langsung daripada hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan di university,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKT Logistics Group Sdn Bhd atas sumbangan dana berjumlah RM50,000 yang disalurkan kepada 20 syarikat pelajar, dengan RM20,000 sebagai dana pemula dan RM30,000 sebagai dana pemacu.
“Sokongan sektor swasta adalah elemen kritikal dalam memastikan kejayaan program keusahawanan di IPT.
“Hubungan erat antara sektor swasta dan IPT akan melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga bersedia menyumbang kepada industri melalui inovasi yang boleh dipercayai pada masa hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menyifatkan pemilihan UPSI sebagai penyelaras program keusahawanan peringkat nasional itu sebagai satu penghormatan besar kepada universiti tersebut.
Beliau berkata, sebagai tuan rumah, UPSI amat berbesar hati dapat menerima kunjungan daripada wakil 18 universiti awam, politeknik, kolej komuniti, serta universiti swasta yang bersama-sama menjayakan program ini.
“Program UTC 2.0 ini dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja mampu berdikari tetapi juga bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti.
“Kolaborasi strategik antara mahasiswa dan komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga menyumbang kepada peningkatan produk dan perkhidmatan yang lebih relevan dengan kehendak pengguna.
“Melalui usaha yang konsisten, program ini telah meletakkan UPSI sebagai peneraju dalam keusahawanan sosial di peringkat IPT”, katanya.
Dalam majlis itu Mustapha turut menyampaikan anugerah kepada universiti yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kategori yang dipertandingkan sempena program UTC 2.0.
Bagi kategori Pembentangan Terbaik dimenangi oleh Universiti Malaysia (UM); Pempamer Terbaik, Universiti Utara Malaysia (UUM); Projek Terbaik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Anugerah Khas Juri dimenangi oleh Kolej Komuniti Beaufort. -MG PERAK